Berita

Tuah kajian autisme… Dr. Hafiz Hassan cipta sejarah bawa pulang Anugerah Penyelidikan Cemerlang

- Diterbit 9 Mei 2025 8:00 PM MYT

KESABARAN dan kegigihan selama tiga tahun lebih membuahkan hasil apabila Dr. Muhamad Hafiz Hassan berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam tempoh yang ditetapkan (Graduate on Time) serta menerima Anugerah Penyelidikan Cemerlang (APC) daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kejayaan itu membolehkan Dr. Hafiz, 33, menyarung selempang berwarna merah jambu (pink) yang berprestij semasa Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101, sidang pertama di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam baru-baru ini.

KEJAYAAN Dr. Muhamad Hafiz Hassan hari ini juga berkat doa ibu bapa tersayang.

Pencapaian cemerlang ini bukan kali pertama bagi Dr. Hafiz. Sebelum ini, beliau telah menerima anugerah Pelajar Terbaik Tahun Akhir dan Anugerah Kecemerlangan Master ketika menamatkan pengajian Sarjana.

Ketika itu, kajian beliau juga tertumpu kepada bidang autisme, walaupun dengan fokus dan skop yang berbeza.

“Minat saya terhadap kajian autisme bermula sejak pengajian Sarjana lagi.

“Untuk PhD, saya membawa bidang kajian ke arah berbeza tetapi masih dalam konteks autisme, dengan memberi tumpuan kepada kaedah visual-spatial yang boleh membantu meningkatkan keupayaan pertuturan kanak-kanak autisme.

“Mereka mempunyai kebolehan visual yang luar biasa, tetapi menghadapi cabaran dalam komunikasi,” kata Dr. Hafiz.

Mendapat bimbingan penyelia yang berdedikasi, Ts. Dr. Rainal Hidayat Wardi, Prof. Dr. Hariri bin Abdullah, dan Prof. Madya Dr. Badrul Isa, Dr. Hafiz membuktikan bahawa pendekatan visual boleh membantu kanak-kanak autisme berkomunikasi dengan lebih berkesan.

“Walaupun kajian PhD saya adalah penyelidikan baharu dan bukan sambungan dari kajian Master, pengalaman bekerja dengan komuniti autisme semasa Sarjana memberi saya pemahaman asas yang kukuh tentang keperluan khas mereka. Ini membantu saya merancang kajian PhD dengan lebih fokus dan mendalam,” jelasnya.

DR. Hafiz mendapat bimbingan penyelia yang berdedikasi, Ts. Dr. Rainal Hidayat Wardi, Prof. Dr. Hariri bin Abdullah, dan Prof. Madya Dr. Badrul Isa

Dr. Hafiz yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, telah menghasilkan banyak penerbitan di pelbagai platform, menerima 35 anugerah inovasi penyelidikan, menyertai beberapa persidangan akademik untuk membentangkan kajian, serta melibatkan diri dalam pelbagai program khidmat masyarakat sepanjang tempoh pengajian PhD beliau.

Kepakaran beliau dalam bidang autisme kini diiktiraf apabila dilantik sebagai pakar rujuk oleh pelbagai pihak, termasuk Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM, Malaysia High Functioning Autism Association (MAHFAA), dan Panel Pembangunan Silibus Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau turut menjadi pakar rujuk untuk beberapa universiti antarabangsa yang menawarkan kursus pendidikan khas serta pusat autisme di seluruh Malaysia, satu pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang ini.

“Perjalanan akademik saya dari peringkat Sarjana hingga PhD telah memberi saya perspektif yang luas dalam bidang autisme.

“Sepanjang hampir tujuh tahun mendalami bidang ini melalui projek berbeza, saya telah menjalankan program bersama komuniti autisme dan membangunkan pelbagai pendekatan untuk mereka.

“Pengalaman ini sangat bermakna dan membuka mata saya tentang keperluan sebenar masyarakat.

“Kita perlu memahami bahawa kanak-kanak istimewa ini melihat dan berfikir tentang dunia dengan cara yang berbeza. Dengan pendekatan yang tepat, mereka boleh berkembang dan berkomunikasi dengan lebih baik,” jelasnya.

“Kita perlu memahami bahawa kanak-kanak istimewa ini melihat dan berfikir tentang dunia dengan cara yang berbeza” – Dr. Hafiz

Dr. Hafiz menekankan bahawa pembangunan kajian dalam membantu golongan autisme tidak seharusnya tertumpu kepada kajian klinikal sahaja.

“Pengkaji dalam bidang sains sosial dan psikologi juga perlu memainkan peranan penting.

“Pendekatan menyeluruh dari pelbagai disiplin ilmu diperlukan untuk memahami dan membantu golongan ini dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Beliau turut menyokong saranan kerajaan untuk meningkatkan penyelidikan dalam bidang autisme dan pendidikan khas, sejajar dengan hasrat negara dalam memastikan tiada kumpulan yang tertinggal dalam pembangunan negara.

“Sokongan keluarga, terutamanya daripada ibu bapa saya, Hassan bin Mohamed dan Nor Zaharani Awang Ahmad, serta bimbingan penyelia yang hebat merupakan tulang belakang kejayaan ini,” tambahnya.

Dr. Hafiz berharap kajian beliau dapat membuka mata masyarakat tentang potensi tersembunyi kanak-kanak autisme dan mengubah persepsi bahawa autisme bukanlah penghalang, tetapi hanya perbezaan yang boleh diatasi dengan sokongan dan pendekatan yang sesuai.

“Kejayaan di peringkat Sarjana dan kini PhD bukan sekadar pengiktirafan peribadi atau selempang pink, tetapi ia adalah tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan,” katanya dengan penuh semangat. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas