TREND aliran migrasi dalam negeri melibatkan penduduk dari desa ke bandar semakin berkurangan iaitu dari 3.0 peratus pada 2020 kepada 2.4 peratus (2022).
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang berkata, dapatan tersebut berdasarkan Survei Migrasi terkini diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2023.
Katanya, dalam menilai ketercukupan infrastruktur asas dan kemudahan sosial di luar bandar agar setanding dengan kawasan bandar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak merangkumi agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pihak-pihak lain berkepentingan.
“Ini termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan JPKK Persekutuan (JPKKP) bagi memastikan pembangunan di luar bandar dijalankan dengan komprehensif dan memenuhi keperluan penduduk,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai trend migrasi penduduk dari desa ke bandar.
Rubiah berkata, di samping itu KKDW turut mendapatkan keperluan berkaitan bagi pemantauan ketercukupan infrastruktur asas dan kemudahan sosial melalui sistem pemantauan projek dalaman kementerian dan Sistem MyProjek oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
Selain itu katanya, data-data yang diterbitkan DOSM seperti Laporan Survei Kemudahan Asas (BA); My Local Stats, Malaysia; dan Sistem Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia/Spatial Characteristics of Rural Malaysia System (S-CHARMs) turut dijadikan sebagai panduan serta pengukuran.
“KKDW berharap melalui kaedah-kaedah yang digunakan ini pembangunan infrastruktur dan kemudahan sosial di luar bandar dapat setanding dengan kawasan bandar.
“Ini bagi membolehkan penduduk luar bandar menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan setara dengan mereka yang tinggal di kawasan bandar,” katanya. – WILAYAHKU