Berita

Transparency International lancar piawaian baharu

- Diterbit 17 Disember 2024 6:30 PM MYT

TRANSPARENCY International telah mengeluarkan satu set cadangan dasar yang intensif bertujuan untuk memberikan benteng yang kukuh dan berkesan terhadap kesan korupsi berpunca dari penggunaan wang politik di seluruh dunia.

Presiden TI-Malaysia, Dr Muhammad Mohan berkata penilaian pakar global menunjukkan bahawa negara-negara telah lama ketinggalan dalam usaha memperkenalkan dan menguatkuasakan undang-undang yang kukuh untuk mencegah korupsi dalam kewangan politik.

“Lebih daripada 60 negara masih membenarkan sumbangan politik tanpa nama dan gagal mewajibkan parti politik melaporkan pendapatan dan perbelanjaan kempen mereka.

“Kelemahan dan kelompongan dalam rangka kerja undang-undang ini mencipta lebih banyak peluang untuk pelaku korup untuk menguasai politik untuk kepentingan mereka sendiri,” menurut kenyataan dikeluarkan Transparency International.

Menurutnya lagi, piawaian baharu yang dilancarkan oleh Transparency International iaitu Standards for Integrity in Political Finance adalah berdasarkan perundingan yang teliti bersama gerakan antirasuah global.

Katanya, ini serta pakar dari kerajaan, organisasi antarabangsa, pemerhati pilihan raya, masyarakat sivil, media dan badan pemikir.

“Piawaian tersebut menggariskan lebih daripada 50 cadangan yang boleh dilaksanakan untuk menangani risiko korupsi utama khususnya bagaimana parti politik dan kempen dibiayai.

“Antara cadangan yang disenaraikan adalah seperti keperluan untuk sistem penyimpanan rekod yang teliti, piawaian pelaporan dan penerbitan untuk pendapatan dan perbelanjaan politik,” katanya.

Menurut Muhammad Mohan berkata parti, kempen dan calon dikehendaki menggunakan akaun bank yang telus dan boleh diakses oleh orang awam untuk menguruskan dana mereka.

Katanya, bank bertanggungjawab untuk memantau dan melaporkan aktiviti mencurigakan dalam akaun berkenaan kepada badan pengawasan.

“Badan Pengawasan tersebut hendaklah diberikan kuasa untuk memantau sebarang pelanggaran undang-undang dalam kewangan politik dengan bantuan dan kerjasama agensi lain untuk memastikan akauntabiliti.

“Kerajaan bertanggungjawab untuk mengemaskini peraturan untuk memastikan ketelusan bagi pengiklanan dalam talian, melarang sumbangan tanpa nama dan menghadkan pembayaran asing kepada entiti politik,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Mohan berkata pengawasan pembiayaan awam untuk membantu penglibatan yang adil dalam politik terutamanya golongan yang sering dipinggirkan khususnya wanita.

Beliau berkata Malaysia kekal komited memastikan ketelusan dalam kewangan politik dengan menyertai dan meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) pada tahun 2008.

“Sudah 14 tahun berlalu sejak TI-Malaysia menerbitkan penyelidikannya dan membuat cadangan kepada kerajaan melalui memorandum “Mereformasi Pembiayaan Politik di Malaysia.”

“Walaubagaimanapun, kerajaan-kerajaan terdahulu gagal membentangkan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik di parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Mohan berkata TI-Malaysia berharap bahawa kerajaan Madani akan berjaya mendapatkan sokongan penuh daripada penggubal undang-undang dan merealisasikan usaha ini dengan mengambil panduan yang bermanfaat daripada penerbitan baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas