RAJA Berpelembagaan yang diamalkan di negara ini tidak hanya sekadar simbol semata-mata, sebaliknya ia merupakan penyelamat negara tatkala ia berada dalam krisis.
Transisi yang diamalkan sejak 66 tahun lalu melalui sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melibatkan sembilan Raja-Raja Melayu ini tidak sekadar memaparkan tradisi dan keunikan sahaja bahkan ia sifat pemimpin memayungi rakyat jelata sejak dari zaman berzaman.
Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengakhiri tugas pada 30 Januari lalu telah mengemudi negara selama lima tahun menyaksikan pelbagai konflik dan cabaran yang menguji keutuhan dan kepintaran baginda dalam meleraikan kekusutan demi rakyat jelata.
Sebaik dilantik sebagai Sultan Pahang menggantikan ayahanda baginda yang gering, Al-Sultan Abdullah yang hanya berpengalaman selama 15 hari sebagai Sultan dipilih sebagai YDPA menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan.
Rentetan daripada itu, bermula tugas mengemudi negara sehingga tercetusnya konflik politik menerusi peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh yang ketika itu disandang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang berlarutan sehingga selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Ketika pemerintahan Al-Sultan Abdullah, pelbagai konflik dirakam yang kesemuanya menuntut peranan berhikmah dalam menangani kegusaran awam. Ia bermula dengan konflik politik, penularan wabak pandemik COVID-19, kemuncupan sektor ekonomi sehingga rakyat jelata mengibarkan bendera putih. Baginda juga merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang tidak mengambil gaji disebabkan situasi rakyat yang tidak menentu kesan daripada pandemik.
Perwatakan yang tenang serta pendekatan berhikmah telah berjaya mengurangkan konflik. Natijah daripada kebijaksanaan baginda dalam menamatkan simpang siur politik negara pasca PRU-15 lalu dengan mencadangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan sebagai alternatif selepas mengambil kira negara perlu diurus dan dirawat sebaiknya.
Rentetan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai Perdana Menteri selepas Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu sekali gus menamatkan kebuntuan politik. Kebijakan baginda dalam menguruskan konflik juga terserlah apabila bertitah semasa pembukaan penggal baharu parlimen ke-15 pada Febuari 2023 yang lalu untuk tidak lagi melayani karenah ahli politik yang berebut kuasa demi melihat negara perlu segera diperbaiki dan dibangunkan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat jelata.
Terbaharu bermula Rabu lalu, di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Malaysia dilihat berkeupayaan menempa lebih banyak kejayaan khususnya dalam membangunkan ekonomi negara.
Sultan Ibrahim yang berperwatakan tegas serta terkenal dengan sikap berterus terang demi kesejahteraan rakyat telahpun memberi amaran kepada ahli politik agar menumpukan tugas yang diamanahkan untuk membantu rakyat berbanding bercakaran sesama sendiri.
Baginda diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015, berkahwin dengan Raja Permasuri Agong, Raja Zarith Sofiah dan dikurniakan enam cahaya mata.
Sebagai Sultan Johor, baginda amat terkenal sebagai seorang Sultan yang berjiwa rakyat, mempunyai sifat kasih sayang yang tinggi terhadap rakyat malah amat prihatin dengan situasi semasa dan cabaran hidup hari ini.
Baginda juga tidak kekok untuk mendampingi rakyat jelata bahkan sering menasihati semua pihak khususnya rakyat supaya mengutamakan perpaduan yang menjadi tunjang kemakmuran Negeri Johor.
Latar belakang pendidikan serta pengalaman luas baginda menjadi panduan dalam memerintah negara ini bahkan rakyat akan menikmati kesejahteraan seperti yang baginda inginkan. – WILAYAHKU