Berita

Transformasi pemimpin muda PA

GENERASI baru menyumbang pembentukan masyarakat MADANI.
- Diterbit 10 Julai 2024 12:00 PM MYT

BAGI memperkasa potensi pemimpin muda dalam kalangan komuniti Perumahan Awam (PA), Persatuan Belia Seri Cempaka di bawah Program Kita-Untuk-Kita (K2K) oleh Think City menganjurkan Sidang Anak Muda K2K bertempat di Dewan Tuna, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Cyberjaya baru-baru ini.

Menurut Pengarah Program K2K, Dr Shahridan Faiez, program bersimulasi persidangan Parlimen itu diwujudkan khusus untuk penyertaan golongan belia di PA bagi melatih dan melahirkan generasi pemimpin baharu belia yang berwibawa, berkeyakinan dan proaktif sebagai penggerak komuniti dan golongan aktif dalam komuniti mereka.

“Platform seperti Sidang Anak Muda K2K dapat menggalakkan pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kebolehan pengucapan awam. Ini memupuk ruang di mana golongan belia boleh berbincang serta berkongsi pendapat dan kebimbangan mereka, membolehkan suara mereka didengari.

“Generasi muda di perumahan awam adalah pemangkin transformasi masyarakat. Melabur dalam pembangunan anak muda adalah pelaburan untuk masa hadapan komuniti PA yang lebih cerah.

“Kita memberi peluang kepada belia untuk menyerlahkan kemahiran dan keyakinan serta menjadi peserta aktif dalam kepimpinan selain memperkasa mereka untuk melalui perubahan positif dan mencipta masa depan yang lebih cerah bukan sahaja untuk diri mereka tetapi juga untuk komuniti dan negara,” ujar beliau.

Terdahulu, seramai 40 wakil belia daripada 10 kawasan perumahan awam di Lembah Klang menyertai Program Sidang Anak Muda K2K dan membahas serta mencadangkan idea bagi isu-isu penting menyentuh belia dan komuniti PA.

Antara isu dan usul yang dibahaskan dalam Sidang Anak Muda K2K kedua ini termasuk isu sosioekonomi, keusahawanan, pematuhan undang-undang serta kesihatan mental. Pembentangan wakil-wakil belia dikumpulkan bersama usul-usul pada sidang pertama yang lalu dan disalurkan kepada pihak kementerian agar suara serta cadangan yang dihasilkan dapat dipertimbangkan dalam agenda pembangunan negara dan Belanjawan 2025.

Shahridan berkata pemerkasaan suara komuniti terutamanya warga belia melalui Program Sidang Anak Muda K2K adalah antara strategi utama Program K2K untuk menjana transformasi PA.

“Suara belia juga membolehkan sinergi dan tenaga baharu kepada komuniti untuk menerajui transformasi PA ke arah pembentukan bandar yang berdaya huni, mampan dan inklusif selaras dengan agenda pembangunan masyarakat Malaysia MADANI,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata kerajaan memperakui dan mengangkat suara warga belia sebagai pemegang taruh yang penting dalam agenda pembangunan Malaysia MADANI.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Think City dan Persatuan Belia Seri Cempaka kerana menganjurkan Program Sidang Anak Muda K2K ini. Sebagai salah satu Program Rakan Demokrasi, ianya memberi platform baharu kepada anak muda untuk menyumbangkan kepada pembangunan diri, komuniti dan negara.

“Saya berharap pada sidang akan datang, kita dapat melibatkan agensi-agensi kerajaan lain yang bertanggungjawab supaya isu-isu dan cadangan penyelesaian yang dibawa anak-anak muda ini sampai kepada pembuat dasar di dalam kerajaan supaya dasar yang dirangka akan relevan dan mengambil kira pandangan komuniti dari kawasan PA,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas