Berita

Transformasi ekonomi bumiputera tidak boleh lagi terkurung cara lama

- Diterbit 18 Oktober 2024 5:51 PM MYT

TRANSFORMASI ekonomi bumiputera tidak boleh lagi terkurung dengan cara lama iaitu mengurus agensi kerajaan dengan tatakelola rendah termasuk menggunakannya bagi memperkaya kerabat sendiri.

Demikian amaran disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melihat permasalahan itu menyebabkan pihak yang bertanggungjawab lupa agenda utama mengangkat darjat dan martabat bumiputera.

“Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera adalah dengan tekad membawa pengarahan dan kebijakan baharu,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, pemusatan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Ekuinas di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra adalah untuk menyokong perniagaan bumiputera di sepanjang kitaran perniagaan mereka.

“Umpamanya, Ekuinas akan melabur dalam syarikat pertengahan dan setelah itu, syarikat yang berjaya disenaraikan dan mendapat pelaburan sewajarnya daripada PNB.

“Tahun hadapan, RM800 juta pembiayaan di bawah MARA dan PUNB tersedia untuk lebih ramai usahawan bumiputera termasuk untuk menyokong artisan tempatan.

“Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM1.3 bilion untuk memperkasa kontraktor G1-G4 khususnya bumiputera.

“Ini memberi peluang kepada kontraktor melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana seperti pembinaan jalan raya serta pembaikan dan penyelenggaraan prasarana awam,” katanya.

Tambah beliau, pada masa yang sama, sejumlah RM200 juta disediakan untuk Skim CAKNA 2 bagi menyokong aliran tunai kontraktor G1-G4 menyiapkan projek berskala kecil kerajaan bernilai sehingga RM1.5 juta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas