Berita

Trak vaksin bergerak bantu percepat vaksin warga Wilayah Persekutuan

PROJEK Rintis Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah merupakan antara tujuh kandungan IWC 5.0 bagi membantu penduduk di Wilayah Persekutuan. Kredit foto oleh: FB Annuar Musa PROJEK Rintis Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah merupakan antara tujuh kandungan IWC 5.0 bagi membantu penduduk di Wilayah Persekutuan. Kredit foto oleh: FB Annuar Musa
- Diterbit 7 Jun 2021 7:10 AM MYT

SERAMAI 1,000 penduduk projek perumahan rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, di sini hari ini menerima vaksin menerusi projek rintis Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata program itu bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kalangan komuniti yang berkepadatan tinggi.

“Program hari ini memberi keutamaan kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dengan dibantu jawatankuasa penduduk dan kemudiannya diselaraskan dalam aplikasi MySejahtera.

“Ini adalah langkah proaktif untuk merancakkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sekali gus membolehkan warga Wilayah Persekutuan mendapatkan vaksin dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek rintis itu hari ini.

Annuar berkata pengenalan projek rintis itu bertujuan menguji dahulu serta melihat sejauh mana kapasiti yang dapat dilaksanakan kelak.

Annuar berkata projek rintis itu juga bertujuan membawakan vaksin kepada rakyat agar mereka tidak perlu melakukan perjalanan dan menunggu terlalu lama.

“Kami menjangkakan selepas mendapat kelulusan, operasi trak bergerak pada 15 Jun ini adalah 10 buah dan Julai pula kami akan menggerakkan 39 trak secara serentak.

“Ini berikutan di bawah sistem ini, kapasiti untuk membantu mempercepatkan sehingga 15,000 hingga 20,000 suntikan sehari di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Inisiatif Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah yang akan dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan bermula 15 Jun ini berupaya memberi suntikan vaksin COVID-19 antara 15,000 hingga 20,000 dos sehari kepada warga Wilayah Persekutuan.

Ia antara empat langkah yang sedang dan akan dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi memastikan Wilayah Persekutuan mencapai imuniti kelompok lebih awal, iaitu menjelang akhir Ogos atau awal September ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas