SELEPAS berjaya mencatat jualan sebanyak RM16 juta pada tahun pertama operasinya, platform e-dagang TopzMall merancang mahu memberi fokus kepada pasaran halal antarabangsa.
Menurut Ketua Pegawai Operasi TopzMall, Calvert Choo, pihaknya mahu membawa produk halal tempatan ke pasaran antarabangsa terutama di China yang merupakan kekuatan platform e-dagang berkenaan.
“Kami merancang untuk mewujudkan halal kategori dalam TopzMall. Masyarakat Muslim bukan sahaja ada di Malaysia, tetapi seluruh dunia.
“Oleh itu, kami mahu membawa produk halal jenama tempatan masuk ke pasaran antarabangsa. Pelanggan TopzMall bukan sahaja dari Malaysia, tetapi Filipina, Vietnam dan juga China,” ujar Calvert yang ditemui pada majlis Pelancaran Topzmall di sebuah hotel terkenal, baru-baru ini.

Tambah Calvert, pihaknya yakin produk halal tempatan akan mendapat sambutan di TopzMall kerana kredibiliti sijil halal Malaysia yang cukup diyakini di peringkat antarabangsa.
“Sijil halal Malaysia mempunyai kredibiliti yang kukuh berbanding sijil halal antarabangsa lain. Bukan mudah untuk mendapatkannya dan perlu melalui pelbagai prosedur yang cukup teliti.
“Jadi, kami berharap selepas ini peniaga produk halal tempatan boleh menyertai kami di TopzMall dan menjual produk mereka ke seluruh dunia.
“Buat masa ini kekuatan kami adalah di China kerana majoriti pelanggan datangnya dari sana. Pasaran halal di China juga cukup besar, kami berharap pemilik produk halal tempatan tidak akan melepaskan peluang yang ditawarkan apabila kategori halal diperkenalkan dalam TopzMall,” tutur Calvert.
Dalam pada itu, TopzMall berbeza berbanding platform e-dagang sedia ada kerana memberi fokus untuk memasarkan produk jenama tempatan ke pasaran antarabangsa.
TopzMall yang memulakan operasinya pada tahun lalu menyasarkan jualan berganda pada tahun depan iaitu sebanyak RM32 juta.
“Tahun lalu kami sekadar mencuba pasaran dengan bergabung bersama aplikasi Yippi yang merupakan rakan strategi kami dan nampaknya model perniagaan tersebut berjaya apabila TopzMall menerima banyak trafik daripada Yippi.
“Selepas ini kami akan bergandingan dengan lebih banyak rakan strategi selain platform tetap di website,” kata Calvert.
Calvert ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikan penyanyi Jeryl Lee Pei Ling sebagai duta kempen ‘2022 CNY Goods’ di sini pada Khamis. – WILAYAHKU