Fokus

Tonjol keunikan seni kraf batik, kayu

HANANI menunjukkan teknik menghasilkan lukisan batik bercorak imej fotografi.
- Diterbit 10 November 2023 1:25 AM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM
Foto oleh AMINULLAH FARIJ

PELAJAR Institut Kraf Negara (IKN), Nur Hanani Ridzuan, 20, teruja berpeluang menonjolkan keistimewaan dan keunikan seni kraf batik kepada orang ramai.

Dia berkata ia merupakan pengalaman pertama buatnya apabila diberi peluang menghasilkan seni lukisan batik bercorak imej fotografi di hadapan orang ramai.

“Saya sangat teruja apabila pengunjung bertanyakan tentang seni lukisan ini di samping dapat berkongsi maklumat mengikut kefahaman dengan mereka.

“Untuk menghasilkan lukisan imej fotografi tidaklah sukar namun ia mengambil masa yang panjang hampir dua minggu kerana ia mempunyai banyak proses selain perlu ketelitian dalam menghasilkannya,” katanya yang akan menamatkan sesi pengajian di IKN tahun hadapan.

Tambahnya, IKN adalah institusi pengajian yang terbaik khususnya kepada mereka yang meminati dan ingin menceburi bidang seni serta memberi peluang dan menyediakan platform pekerjaan kepada graduan yang telah menamatkan pengajian.

Sementara itu, pelajar jurusan seni kraf kayu, Muhammad Nazreen Hazam Razak, 18, berkata dia juga berasa teruja apabila dapat menyebar luaskan tentang keunikan seni ukiran kayu kepada orang ramai meskipun masih mentah dalam bidang seni tersebut.

“IKN memberi ruang dan peluang kepada saya untuk mempelajari dan menyerlahkan bakat terhadap bidang seni. Pada awalnya, saya tidak meminati bidang seni kayu dan lebih minat pada seni logam, namun atas berkat doa ibu bapa dan guru-guru, saya semakin faham dan pembelajaran juga lebih mudah,” katanya yang menuntut pengajian di IKN Rawang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas