SENIMAN Negara Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab menghembuskan nafas terakhir pada usia 95 kira-kira jam 3.15 petang tadi di kediamannya.
Maestro muzik itu meninggal dunia akibat sesak nafas dan berita itu dimaklumkan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez menerusi mesej aplikasi WhatsApp.
“Tan Sri Datuk Seri Ahmad Khan bin Nawab Khan telah kembali ke Rahmatullah dirumahnya jam 3.15 petang tadi,” katanya.
Difahamkan komposer terkemuka itu tidak mempunyai penyakit kronik, namun, keadaannya lemah selepas dibenarkan pulang daripada rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), bulan lalu.
Ahmad Nawab atau nama penuh, Ahmad Khan Nawab Khan memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun dan dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 pada 2006 iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.
Sepanjang kariernya, maestro muzik itu mencipta ebih 2,000 lagu sejak era 1950-an.
Beliau dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jun 2023.
Ahmad Nawab melahirkan ramai nama besar dunia seni suara seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram.-WILAYAHKU