PENYANYI Datin Alyah akui terharu dengan sokongan suaminya, Datuk Ramli MS menjual tudung Turki ketika sesi live di TikTok baru-baru ini.
Menurut pelantun lagu Kisah Hati ini, suaminya yang lebih mesra disapa Tok Ram amat jarang untuk hadir dalam sesi live bersamanya di media sosial.
“Sebenarnya Tok Ram sebelum ini hanya support saya dari belakang sahaja. Iyakah, dia lelaki kurang sesuai kalau nak jual tudung. Memang dia takkan muncul dalam live apabila saya jual tudung.
“Namun saya sendiri rasa terharu apabila Tok Ram dengan sukarela buat kali pertama muncul dalam live bantu saya jual tudung.
“Selama ini dia hanya perhatikan dari jauh saja. Kalau dia bagi komen pun, selepas sesi jualan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Alyah memberitahu bahawa Tok Ram bersimpati kepadanya apabila tidak dapat buat live selama 10 hari kerana di sekat oleh TikTok.
“Saya pun kurang pasti apa punca saya disekat daripada buat live. Sedihlah juga sebab saya tidak berkesempatan jual tudung di tempat lain disebablan jadual padat.
“Apabila saya live, tontonan saya jatuh jadi 60 orang sahaja. Biasanya lebih 1000 tontonan setiap kali live.
“Apabila Tok Ram masuk live saya dan sama-sama jual tudung, tontonan mencapai lebih 13 ribu dan dapat sejuta tanda suka. Saya sangat terkejut. Dalam masa yang sama seronok suami bantu.
“Peminat minta lagi kami buat sesi live berdua, tapi Tok Ram beritahu, tak boleh buat selalu berdua, nanti orang menyampah pula,” ujarnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen seronok melihat gelagat suami isteri itu. Kebanyakan mereka mahu mereka bergandingan setiap kali sesi live kerana nampak romantik.
Dalam kesibukan kerjaya sebagai penyanyi, Alyah akui tidak salah untuk dirinya mencari pendapatan dari sumber lain. Tambahan pula, tudung Turki yang dijualnya sentiasa mendapat permintaan tinggi.
“Sebenarnya dah lama saya buat bisnes tudung yang dibawakan khas dari Turki. Beberapa tahun lepas saya dah jual sebab saya memang pakai.
“Asalnya sebab ramai yang tanya, jadi saya jual untuk memenuhi permintaan mereka. Dalam sesi live itu, saya jual tudung rekaan atau corak E lima tahun lalu. Jadi bolehlah saya jual murah.
“Walaupun saya jual tudung Turki dengan harga murah, ia tetap berkualiti.
“Bagi saya, rezeki Allah itu luas. Tinggal kita sahaja kena berusaha. Dalam masa yang sama, kita jadi lebih bersemangat apabila dapat sokongan suami sendiri.
“Kepada para wanita di luar sana, Jangan takut cuba sesuatu yang baharu demi mencari rezeki. Insya-Allah, kalau terus berusaha dan sentiasa belajar tingkatkan ilmu bisnes, pasti boleh berjaya,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Alyah akan muncul bersama Ayu Damit dan Idayu dalam satu perembahan eksklusif.
Tiga penghibur wanita handalan itu berkolaborasi menerusi showcase yang akan berlangsung di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya pada 21 dan 22 Jun 2025.
Tiket An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah dijual pada harga RM350 termasuk sesi bertemu artis, cenderahati dan hidangan koktel, manakala tiket RM250 menyediakan hidangan koktel. – WILAYAHKU