Berita

TMP 2025 sasar kurangkan jurang pendidikan

ZALIHA (tiga kiri) ketika merasmikan Program Tuition Mission Putrajaya 2025.
- Diterbit 23 Mei 2025 11:52 PM MYT

SEBANYAK RM120,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Tuition Mission Putrajaya (TMP) 2025 merangkumi kos pembangunan modul, seminar motivasi serta pelaksanaan dan pemantauan program.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, peruntukan tersebut merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan dalam memastikan akses pendidikan yang lebih adil kepada pelajar kurang berkemampuan, khususnya dalam membantu mereka menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Program ini telah memberi impak positif di Putrajaya sejak dilaksanakan empat tahun lalu, melibatkan sekitar 100 pelajar setiap tahun daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan keluarga kurang berkemampuan.

“Alhamdulillah, kita dapat lihat kejayaan program ini yang berada di bawah Program Usaha Jaya Insan (PUJI) menerusi komponen ILMU@PUJI, dan telah melahirkan pelajar-pelajar cemerlang,” katanya selepas merasmikan Program TMP 2025.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan TMP akan diperluas ke Kuala Lumpur dan Labuan, sejajar dengan komitmen kerajaan memperluas bantuan pendidikan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

“Di Kuala Lumpur, kita juga bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam usaha membantu pelajar. Jadi, kita akan terus meneliti ruang dan peluang untuk memperluaskan bantuan kepada pelajar di seluruh Wilayah Persekutuan,” katanya.

Program yang merupakan inisiatif tahunan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dan disenaraikan di bawah ILMU@PUJI itu menyediakan kelas tambahan secara percuma bagi empat mata pelajaran teras SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, khusus untuk pelajar yang kurang berkemampuan dan memerlukan bimbingan tambahan.

Zaliha berkata program ini juga merupakan sebahagian daripada intervensi pendidikan untuk merapatkan jurang pencapaian antara pelajar serta mengurangkan kadar keciciran pelajar.

“Jurang pendidikan semakin melebar, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Kita risau dengan angka lebih 10,000 pelajar yang tidak hadir menduduki SPM pada tahun 2023, kebanyakannya disebabkan tekanan ekonomi keluarga. Mereka ini sepatutnya fokus kepada pembelajaran, tetapi terpaksa keluar bekerja untuk membantu keluarga, dan akhirnya pelajaran terabai,” katanya.

Menurutnya ramai pelajar mempunyai potensi besar, tetapi kekurangan peluang dan sumber menjadi penghalang utama untuk mereka cemerlang dalam pendidikan.

Untuk tahun ini, seramai 100 pelajar daripada sembilan buah sekolah menengah di Putrajaya telah dipilih menyertai TMP 2025. Program ini akan dibimbing oleh 20 orang guru berpengalaman, dan kelas akan dijalankan secara fizikal bermula 20 Mei hingga 11 September 2025, bertempat di Kompleks Kejiranan Presint 16, pada setiap Selasa dan Khamis, secara bergilir mengikut mata pelajaran.

Melalui inisiatif seperti TMP, kerajaan terus komited dalam menyokong kecemerlangan pendidikan pelajar berpendapatan rendah, sekali gus memperkasa generasi muda sebagai aset negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas