Berita

Titik berat aspek keselamatan rumah

SEBAHAGIAN warga kota yang menyertai Program Iftar @KL di Dataran Merdeka baru-baru ini. Warga kota dinasihatkan memaklumkan jiran sepanjang ketiadaan di rumah kerana pulang beraya.
- Diterbit 28 Mac 2025 8:00 AM MYT

MENJELANG Aidilfitri, pastinya perantau khususnya warga kota sudah memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman.

Namun dalam kegembiraan menyambut lebaran, orang ramai dinasihatkan untuk menitikberatkan aspek keselamatan sebelum meninggalkan kediaman masing-masing.

Menurut Norhidayah Termizi, 29, kebiasaannya dia akan memberitahu jiran-jiran berhampiran yang tidak pulang ke kampung berkenaan ketiadaannya.

“Alhamdulillah setakat ini kawasan kejiranan saya selamat dan pentingnya ada hubungan baik dengan jiran untuk kita update mereka sepanjang ketiadaan.

“Ia bukan sahaja untuk elak kes kecurian tetapi penting sekiranya berlaku apa-apa di kawasan perumahan seperti banjir, kebakaran atau sebagainya,” katanya yang menetap di Setapak.

NORHIDAYAH

Norhidayah berkata tinggal berjauhan dengan ibu bapa membuatkan dia perlu bertanggunjawab di atas keselamatan dirinya sendiri termasuk kediamannya.

“Pesanan saya kepada mereka yang ingin pulang ke kampung adalah pastikan pintu pagar dikunci dengan baik dan tutup punca kuasa elektrik bagi mengelakkan berlaku litar pintas. Hati-hati juga ketika memandu kerana ia mampu menyelamatkan nyawa sendiri dan orang lain,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, Muhammad Azlee Mohd Ismail, 36, berkata dia akan berjumpa dengan jiran-jiran yang tidak pulang ke kampung untuk meminta mereka ‘tengokkan’ rumah kerana ini perkara biasa di kawasan perumahannya.

SITI ZURAIDAH

“Setakat ini tiada apa-apa kes kecurian dilaporkan dan kita juga ada Rukun Tetangga yang akan membantu memantau rumah, ini antara perkara yang bagus apabila duduk di kawasan kejiranan yang baik dan harmoni.

“Pesanan saya sebelum pulang beraya, pastikan tingkap dan pintu dikunci dengan baik dan kita sebagai orang Islam boleh praktikkan sebelum keluar baca doa terlebih dahulu memohon perlindungan. Selain itu, beritahu jiran atau balai polis berhampiran untuk extra safety dan selepas itu boleh pulang dengan gembira,” katanya.

Sementara itu, Siti Zuraidah Ahmad Termizi, 34, berkata sebelum meninggalkan rumah, adalah penting untuk memastikan gas, api dan suis utama ditutup terlebih dahulu.

“Kebiasaan suami akan periksa terlebih dahulu sekiranya suis-suis utama, gas dan air telah ditutup dan dia juga merupakan individu terakhir yang akan keluar rumah untuk pastikan pintu pagar dikunci dengan elok.

“Selain maklumkan kepada jiran, kini kita mempunyai teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) di mana lebih mudah untuk kita pantau melalui telefon bimbit sahaja. CCTV juga akan beri notifikasi sekiranya berlaku pergerakan luar biasa dan kita akan minta bantuan jiran berhampiran yang ada untuk double check di kawasan rumah kita,” katanya.

Siti Zuraidah turut menasihati orang ramai untuk tidak kelam kabut dan mengambil beberapa langkah keselamatan sebelum meninggalkan kediaman masing-masing.

“Kebiasaan kita akan tinggalkan rumah dalam tiga hari jadi macam-macam perkara boleh berlaku ditambah pula kawasan kediaman akan menjadi sunyi kerana ramai yang pulang ke kampung atau bercuti.

“Jadi jangan tinggalkan wang tunai atau barangan berharga di rumah, beritahu jiran dan beri nombor telefon untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan dan jangan sembunyikan kunci rumah di dalam pasu, bawah alas kaki dan dalam rak kasut di luar rumah,” katanya yang akan pulang ke Pahang sempena Aidilfitri.

Menurut Mohd Shuhaimi Mohammed Ismail, 46, pula, sebelum meninggalkan rumah selain memaklumkan pada jiran, orang ramai boleh juga maklumkan ketiadaan mereka kepada anggota bertugas di bilik gerakan polis.

“Tidak dinafikan kes kecurian boleh berlaku terutama musim perayaan ini jadi dengan maklumkan kepada pihak polis sekurang-kurangnya mereka boleh membuat rondaan sekali sehari di kawasan perumahan kita untuk mengelakkan berlaku perkara tidak diingini.

“Seperti sebelum ini pernah berlaku kecurian motor di rumah saya, jadi saya hubungi pegawai polis untuk adakan rondaan di kawasan perumahan untuk mengelakkan berlakunya kes kecurian yang seterusnya.

“Sekiranya ada bajet lebih digalakkan untuk memasang CCTV sekurang-kurangnya di luar rumah bagi memudahkan kita memantau meskipun berada jauh di luar kawasan. Teknologi yang ada kini kita perlu dimanfaatkan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas