Fokus

Tingkat didikan agama

kid learning to read quran with muslim teacher or ustad
- Diterbit 20 April 2025 12:30 PM MYT

SABRINA SABRE & DIANA AMIR

GEJALA sumbang mahram yang semakin menular dalam masyarakat kini bukan sahaja satu jenayah di sisi undang-undang, malah merupakan dosa besar yang amat dikeji dalam Islam.

AMIN IDRIS

Menurut pendakwah bebas, Amin Idris, Islam menegaskan bahawa hubungan sumbang mahram adalah satu bentuk kerosakan moral yang meruntuhkan struktur kekeluargaan dan mendatangkan murka Allah SWT.

“Islam sangat menjaga keturunan (nasab) dan kehormatan insan. Hubungan antara mahram yang diharamkan dari sudut syarak seperti antara ayah dan anak, adik-beradik, bapa saudara dan anak saudara, jika dilanggar, ia tergolong dalam dosa zina yang paling berat.

“Allah SWT mengharamkan perbuatan ini secara jelas dalam Al-Quran. Dalam Surah An-Nisa’, ayat 23, Allah menyebut dengan tegas tentang golongan mahram yang haram dikahwini. Ia bukan sahaja haram, malah merupakan jenayah moral yang amat menjijikkan.

“Pelaku bukan sahaja perlu dihukum di dunia, malah akan menerima azab yang amat pedih di akhirat kelak jika tidak bertaubat,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau berkata punca utama kepada gejala ini sering berpunca daripada kelalaian dalam menjaga batas pergaulan dalam keluarga, kurangnya pendidikan agama serta pengaruh media yang tidak terkawal.

“Saya menyarankan agar ibu bapa memulakan amalan mengasingkan tempat tidur seawal usia tujuh tahun sebagai salah satu langkah penting dalam mencegah berlakunya sumbang mahram dalam kalangan keluarga,” katanya.

Ia jelasnya selaras dengan ajaran Rasulullah SAW yang diriwayatkan dalam hadis: “Perintahkanlah anak-anak kamu supaya mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika mereka enggan solat) ketika mereka berumur 10 tahun, dan asingkan tempat tidur mereka”. (Riwayat Abu Daud).

Amin memberitahu ibu bapa seharusnya menjadi contoh terbaik dalam mengamalkan nilai Islam di rumah.

“Didik anak dengan agama sejak kecil, tanamkan rasa malu dan hormat dalam diri mereka. Jangan anggap isu sumbang mahram ini jauh dari kita kerana ia boleh berlaku jika kita alpa,” katanya.

Amin berkata didikan rohani seperti solat berjemaah, membaca Al-Quran bersama dan berbicara tentang dosa dan pahala mampu membentuk rasa takut kepada Allah dan malu untuk melakukan maksiat.

“Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak atau pasangan. Jangan biarkan anak terlalu rapat secara fizikal dengan mahram lelaki dewasa tanpa pengawasan, walaupun mereka ahli keluarga.

“Sesama ahli keluarga mahram pun, ada batas aurat yang mesti dijaga. Anak perempuan tidak sepatutnya berpakaian menjolok mata walaupun di rumah. Begitu juga dengan anak lelaki.

“Kawal cara gurauan yang berlebihan seperti peluk, cium, duduk atas paha atau baring bersama antara anak dan ayah serta abang bila anak sudah meningkat usia baligh. Begitu juga elak pakaian menjolok mata walau di dalam rumah. Paling kurang ada rasa malu kepada Allah dan malaikat. Batas pergaulan tetap perlu ada,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pencegahan awal perlu bermula di rumah dan di sekolah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas