Berita

Tindakan tegas tanpa kompromi

- Diterbit 23 Ogos 2024 12:23 PM MYT

TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang secara sengaja dan sinis telah memperlekeh serta mempertikai tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional terbabit yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

“Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan beliau tersebut memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara  Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.

Baginda bertitah, manakala Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.

“Sungguhpun begitu, Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.

“Al-Sultan Abdullah, semasa itu telah memanggil pakar-pakar perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut secara musyawarah mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah pelantikan Perdana Menteri semasa itu dibuat.

“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.

“Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Al-Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” titah baginda.

Tengku Hassanal bertitah agar pihak PDRM mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik, selaku pemimpin rakyat, mestilah sentiasa berpegang teguh pada Prinsip Rukun Negara dan terus-menerus untuk sentiasa menyatupadukan rakyat.

“Agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestari dan rakyatnya bahagia,” titah baginda.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Mahiaddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas