Berita

Tindakan Mufti Pulau Pinang sesuai dengan adab Melayu Islam

- Diterbit 23 Januari 2024 7:44 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan tindakan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang memohon maaf kepada kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza berhubung penganjuran konsert tidak salah dan bersesuaian dengan adab masyarakat Melayu Islam.

Jelas beliau keputusan Wan Salim memohon maaf itu tidak salah dan seharusnya dihormati semua pihak.

“Saya secara peribadi mengenali Mufti Pulau Pinang ini. Beliau seorang yang sangat tawaduk. Apabila penganjur memberikan pencerahan dan penjelasan, beliau dengar.

“Sebagai orang yang tawaduk walaupun ilmunya tinggi, tetapi dia ada rasa hormat. Jadi apa salahnya dia meminta maaf dan adat kita sebagai orang Melayu serta Islam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Profesional SULH-Mediasi (USIM-JKSM)anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk Anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) hari ini.

Terdahulu, Wan Salim membuat teguran terhadap Siti Nurhaliza supaya menunda tarikh konsert berkenaan bagi menghormati ketibaan bulan Ramadan namun selebriti tersebut menjelaskan bahawa penganjuran konsert tersebut akan diteruskan berikutan ia dibuat untuk mengumpul dana dan akan diserahkan kepada Palestin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas