Berita

Tiket Terbuka Malaysia 2024 mula dijual Rabu ini

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 13 November 2023 12:00 PM MYT

TIKET-TIKET Terbuka Malaysia 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 14 Januari depan di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini akan mula dijual pada pukul 11 pagi Rabu ini.

Apa yang lebih menarik, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan  satu kempen pembelian awal yang menyediakan diskaun kepada peminat yang mendapatkan tiket mereka sebelum 15 Disember ini.

Selain daripada tiket individu, BAM memaklumkan tiket langganan juga boleh diperoleh mulai 15 November ini kepada mereka yang mahu menikmati setiap detik perlawanan penuh aksi kejohanan Super 1000 ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dalam kenyataan sama menggalakkan setiap orang supaya mendapatkan tiket mereka awal.

“Terbuka Malaysia Petronas secara konsisten menghidangkan aksi badminton kelas dunia, dan kami teruja untuk menjadi hos acara berprestij ini sekali lagi.

Ia merupakan peluang unik bagi peminat menyaksikan aksi hebat atlet sukan dan wira negara di atas pentas antarabangsa,” katanya.

Peminat yang ingin membeli tiket boleh berbuat demikian di laman  www.ticket2u.com.my. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas