LARIS ibarat pisang goreng panas. Itulah diibaratkan jualan tiket konsert solo Min Yasmin di Sandakan, Sabah yang habis dijual.
Sambutan yang hebat terhadap konsert Min Yasmin Live In Sandakan yang bakal diadakan di Sabah Hotel pada 11 Mac ini membuatkan Min berasa teruja.
“Alhamdulillah tiket konsert solo yang diadakan secara tertutup di Sabah Hotel sudah habis terjual. Saya sangat terkejut dengan maklum balas positif yang diberikan peminat di sana.
“Saya kini dalam perbincangan dengan pihak hotel untuk menambah jumlah tetamu. Namun saya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Jadi mungkin jumlah tetamu yang bakal ditambah tidak ramai. Namun, sekurang-kurangnya saya bersyukur dengan penerimaan baik ini,” katanya.
Menurut Yasmin, selain konsert secara tertutup, dia juga bakal mengadakan konsert terbuka yang bakal berlangsung di Tiong Hua Hall, Sandakan pada 13 Mac depan.
“Tiket konsert terbuka juga sudah habis terjual sebanyak 70 peratus. Saya dimaklumkan rata-rata peminat yang membeli tiket ini dalam kalangan suku kaum Bajau dan Suluk.
“Selama ini mereka tanya kenapa saya sibuk buat konsert di Filipina dan bukannya di sini. Ini sebab ketika itu rezeki di sana dan sekarang baru diberi kesempatan untuk buat di negara sendiri,” jelasnya lagi yang menjanjikan persembahan terbaik buat penonton. – WILAYAHKU