Berita

Tiga syarikat salur RM2 juta buat mangsa banjir

(DARI kiri) Peter Chow, Dr Shahril Baharim, Datuk Philip Ho, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Chua Thian Teck dan Raja Riza Shazmin bergambar ketika Majlis Penyampaian Mock-Chek di Pavilion Bukit Jalil pada Rabu lalu.
- Diterbit 7 Januari 2022 9:14 AM MYT

PERMULAAN tahun baharu 2022 menyaksikan tiga syarikat terkemuka menyalurkan sumbangan bantuan kewangan bernilai RM2 juta buat mangsa terjejas akibat banjir.

Dalam satu kenyataan Pavilion Kuala Lumpur memaklumkan, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama tiga syarikat iaitu Pavilion Real Estate Investment Trust (REIT), WCT Holdings Berhad dan Malton Berhad.

“Ia sebahagian daripada usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung mereka.

“Sumbangan ini turut mendapat kerjasama Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit Siri Ke-2, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Mercy Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan wang tunai tersebut disalurkan bagi menyediakan barangan keperluan seperti makanan, perubatan, barangan keperluan diri dan lain-lain.

Pihaknya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa banjir.

“Semoga dengan usaha tersebut dapat membawa perubahan terutamanya pada waktu yang sukar ini di samping membantu mereka untuk memulakan semula kehidupan baharu,” tambahnya.

Terdahulu, Majlis Penyampaian Mock-Chek telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management Sdn. Bhd, Datuk Philip Ho diiringi oleh Pengarah Urusan WCT Holdings Berhad, Peter Chow dan Pengarah Eksekutif Malton Berhad, Chua Thian Teck di Pavilion Bukit Jalil, pada Rabu lalu.

Mok-Chek tersebut diserahkan kepada Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Dr Shahril Baharim; Bendahari Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit Siri ke-2 serta Naib Presiden Mercy Malaysia, Raja Riza Shazmin. — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas