SEBANYAK tiga projek penggantian paip sepanjang 70 kilometer bernilai RM 108 juta akan dilaksanakan secara berfasa dijangka selesai seawal Jun 2024 dan selewat-lewatnya suku pertama 2025.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, projek tersebut menjadi satu keutamaannya untuk diselesaikan bagi memastikan keselesan rakyat di Labuan terjamin.
Kesemua perancangan di pulau ini tidak dapat dikecapi sekiranya keperluan asas seperti bekalan air dan elektrik belum diselesaikan terlebih dahulu.
Katanya, melalui peruntukan Belanjawan 2024 sebanyak RM300 juta bagi pembaikan dan penggantian paip air (Pulau Enoe dan Bukit Kallam) akan selesai suku kedua 2024.
Manakala, bagi kerja-kerja baik pulih infrastruktur dan penggantian paip using akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun 2024.
“ Saya telah meminta Bahagian Bekalan Air untuk meneliti keperluan jangka masa panjang bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Labuan ini.
“ Saya juga ada meminta agar Bahagian Bekalan Air dapat menyegerakan semua projek-projek yang berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2024 dan Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Rancangan Struktur Labuan 2040, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.
Dalam perkembangan lain, bagi usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi di pulau itu, beliau telah mengarahkan bagi mewujudkan satu pasukan petugas khas ( special taskforce ) bagi mengenal pasti produk-produk tarikan pelancong ke Labuan.
Katanya, selepas arahan YAB Perdana Menteri pada Disember 2023 yang lalu, Jabatan Wilayah Persekutuan telah mengumpul sebanyak 92 program yang melibatkan pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan.
“ Pelaksanaan program ini akan memberi kesan yang cukup positif bagi Labuan khususnya meningkatkan sosio ekonomi Labuan dan masyarakat setempat.
“ Saya melihat Labuan mempunyai banyak potensi yang belum diterokai yang boleh dipakejkan untuk pasaran pelancongan di pulau ini,” katanya. – WILAYAHKU.