Selebriti

Tiga program baharu sempena haji

- Diterbit 23 Mei 2025 10:28 PM MYT

STESEN TV Alhijrah memperkenalkan tiga program baharu sempena Kempen Program Haji 1446H yang bertemakan Menyahut Panggilan-Mu yang telah dimulakan sejak minggu pertama Syawal.

Tiga program tersebut, Alumni Haji, Kisah Mutawif serta drama berjudul Bilal dan Abah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata pihaknya melabur lebih untuk musim haji berikutan peningkatan jumlah penonton yang dicatatkan stesen itu tahun lalu dengan lebih sembilan juta tontonan.

“Peningkatan syer tontonan sebanyak 40 peratus juga direkodkan, membuatkan kami lebih bersemangat untuk memulakan kempen haji lebih awal.

“Tahun lalu kami memulakan kempen haji pada Ramadan dan usaha itu berbaloi apabila terdapat peningkatan pada syer dan kami harap tahun ini akan ada lagi peningkatan.

“Kebanyakan stesen televisyen memberi fokus kepada program Ramadan dan Syawal tetapi kami memilih fokus kepada program haji. Pada masa sama kami turut memperkenalkan drama Bilal dan Abah yang menampilkan pengarah drama sensasi Walid iaitu Pali Yahya serta Azhan Rani.

“Kami harap dengan khidmat Pali serta Azhan untuk drama menyentuh hati mengenai Bilal yang mengalami gangguan autisme itu akan turut membantu melonjakkan syer kami tahun ini,” katanya.

Menurut Namanzee bagi memastikan TV Alhijrah kekal relevan di mata penonton, pihaknya cuba memahami selera masyarakat.

Meskipun terdapat lambakan program berunsur hiburan, namun katanya masyarakat tetap dahagakan program berunsur spiritual dan kerohanian kontemporari.

Atas sebab itu katanya TV Alhijrah membanyakkan program kerohanian tetapi disuntik dengan elemen lebih kontemporari.

“Apa yang kami cuba buat sekarang adalah memperkenalkan dakwah kontemporari. Kami mengambil kira apa elemen yang orang suka, contohnya audio siar yang semakin popular kebelakangan ini kerana mencerminkan perubahan dan trend semasa tempatan.

“Menyentuh bab drama pula, penonton kita sudah semakin matang dan terdedah dengan pengaruh luar. Oleh itu, kami memerlukan drama yang bertemakan elemen agama yang sangat popular tetapi lebih kontemporari,” katanya.

Selain tiga program baharu berkenaan, program sedia ada seperti Labbaikallah 2025 dan Interaktif Haji masih lagi diteruskan.

Program Labbaikallah 2025 menampilkan Shamsul Ghau Ghau, berkongsi nostalgia haji yang menyentuh hati, ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 9 malam.

Bagi penonton yang inginkan pengisian ilmiah secara padat dan ringkas, rancangan 30 Minit Bersama Prof. Datuk Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah akan disiarkan setiap Selasa, pukul 8.30 malam.

Selain itu, program khas Munajat Arafah yang akan disiarkan pada Jumaat, 6 Jun, pukul 5 petang bakal menampilkan Prof. Datuk Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh bersama barisan asatizah terkemuka.

Dokumentari Umrah Yatim Palestin, yang mengisahkan perjalanan menyentuh hati 750 anak-anak Palestin menunaikan umrah melalui darat, dijadualkan ke udara pada 7 dan 8 Jun, pukul 5.30 petang.

Program yang mencatat peningkatan rating termasuklah Labbaikallah, Munajat Arafah dan Peristiwa Haji, manakala Podcast Haji berjaya meraih lebih dua juta tontonan di platform digital. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas