Berita

Tiga penjenayah warga Rohingya ditembak mati, terlibat lebih 50 kes jenayah

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 23 Disember 2023 5:25 PM MYT

TIGA penjenayah warga Rohingya yang ditembak mati tengah malam tadi di Selayang Jaya, di sini, merupakan ‘Geng Rantau Fiesta’ yang disyaki terlibat dalam lebih 50 kejadian samun dan pecah rumah di enam negeri.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga penjenayah berusia lingkungan 30-an itu dikesan melakukan kegiatan jenayah sejak 2011, dengan seorang daripada mereka yang dipercayai ketua kumpulan itu, pernah dipenjarakan atas kesalahan sama pada 2016 hingga 2017 dan aktif semula selepas dibebaskan.

Beliau berkata dalam kejadian pada 12 tengah malam itu, anggota peronda telah terserempak sebuah kereta jenis Ford Fiesta yang dalam keadaan mencurigakan di Selayang Jaya, sebelum menahan kenderaan tersebut.

“Ketika anggota polis cuba memeriksa, suspek bertindak melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis, namun tembakan itu tidak mengenai anggota kami. Polis kemudian membalas dengan tujuh das tembakan mengenai ketiga-tiga suspek dan mereka meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu, polis turut menemui dua pucuk pistol jenis Revolver dan sebilah parang.

Hussein berkata sisatan turut mendapati ketika kejadian kesemua suspek dipercayai sedang dalam perjalanan untuk melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar Batu Caves dan Pasar Borong Selangor.

Menurutnya selain Selangor, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam kejadian samun dan pecah rumah di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pahang dan Pulau Pinang, dan dengan Selangor sahaja kumpulan itu dipercayai telah melakukan sebanyak 27 kes samun serta pecah rumah melibatkan kerugian RM1.3 juta.

“Kejadian terbaharu melibatkan kerugian RM445,000 apabila mereka memecah masuk ke sebuah rumah di Batang Kali pada 8 Dis lepas dan melarikan tiga utas jam tangan Rolex dan dua utas jam tangan Hublot,” katanya

Hussein berkata kumpulan itu menggunakan modus operandi dengan melarikan barangan mewah yang kecil dan mudah dilupuskan seperti barang kemas serta jam tangan mewah.

Beliau berkata polis kini sedang menyiasat tempat tinggal suspek di sekitar Batu Caves dan Selayang untuk mengesan pembeli barangan curi daripada suspek.

“Kita juga sedang mengesan jika terdapat saki-baki ahli kumpulan ini yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas