Singgah

Tiga lokasi tumpuan untuk diterokai

- Diterbit 1 Disember 2023 2:35 AM MYT

PUTRAJAYA merupakan sebuah bandar terancang yang dibina pada tahun 1995 bagi menggantikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran kerajaan Malaysia.Siapa sangka, dahulu ia merupakan ladang kelapa sawit namun kini bertukar wajah menjadi destinasi pelancongan popular.

Dalam masa yang sama, Perbadanan Putrajaya (PPj) juga tidak putus-putus menambah baik dari segi infrastruktur serta mempelbagaikan lokasi menarik bagi menjadikan Putrajaya sebagai destinasi ekopelancongan utama keluarga. Bagi edisi kali ini, Wilayahku senaraikan tiga lokasi hot spot untuk dikunjungi.

LEBAH KELULUT

TERLETAK di dalam kawasan Taman Botani Putrajaya, Laman Kelulut ini merupakan lokasi dan taman botani pertama yang mempamerkan koleksi lebah kelulut (meliponini) dengan keluasan 2.51 ekar.

Mempunyai lebih 121 koloni lebah kelulut terdiri daripada lapan spesies, pengunjung berpeluang melakukan lawatan berpandu, menuai dan merasai madu kelulut segar dari sarang termasuk melihat dengan lebih dekat serangga tersebut.

Selain Laman Kelulut Taman Botani, terdapat tiga lagi kebun kelulut yang aktif diusahakan oleh Komuniti Putrajaya iaitu di Presint 9, Presint 15 dan Presint 16.

WETLAND STUDIOS

BARU-BARU ini, Wetland Studios Putrajaya membuka satu lagi tarikan iaitu Deep Sea Treasures yang terbahagi kepada tiga zon pameran iaitu Marine Monsters, Sam’s Water World dan Ocean Jewels di mana pengunjung dapat menyelami khazanah serta mendalami ilmu mengenai spesies lautan yang menakjubkan.

Pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman immersive di bahagian Ocean Jewels di mana ruangan ini dikelilingi jellyfish dengan konsep bercahaya yang pastinya akan menarik pengunjung untuk berswafoto.
Antara 15 zon pameran lain adalah Stegodon’s Big Break, Jungle Jive, Flamingo Parade, SkyDreamsVR, EduPlay Center, Insectopia, Dinasaur Encounter dan banyak lagi.

Harga bagi setiap kemasukan bermula RM15 sehingga RM30 bagi dewasa dan kanak-kanak warganegara Malaysia manakala bagi pelancong luar negara adalah bermula RM20 sehingga RM45.

Info:
Lokasi: Taman Wetlands Putrajaya, Presint 13, Putrajaya
Waktu operasi: 10 pagi hingga 7 malam (hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum), 10 pagi hingga 6 petang (hari bekerja)

TAMAN EKUESTRIAN

BAGI warga Putrajaya atau yang tinggal berdekatan anda boleh mengunjungi Taman Ekuestrian Putrajaya (TEP) yang terletak di Presint 5 bagi merasai pengalaman rekreasi berkuda.
Orang ramai boleh melakukan aktiviti joyride di mana mereka boleh mengelilingi kandang dengan menaiki kuda. Selain itu, stable tour juga turut diadakan bagi membolehkan merasai pengalaman memberi makan serta cara penjagaan kuda dengan harga serendah RM20 seorang pada hari bekerja manakala RM25 seorang pada Sabtu dan Ahad. Sesi fotografi dan kelas secara peribadi turut ditawarkan buat mereka yang berminat.

Info:
Lokasi: Jalan Kandang Kuda, Presint 5, 62000, Putrajaya
Waktu operasi: Isnin (tutup) Selasa hingga Ahad (8.30 hingga 10.30 pagi) (4.30 hingga 6.30 petang)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas