Berita

Tiga lelaki termasuk OKU ditahan terlibat dadah

||
- Diterbit 17 Ogos 2020 4:37 AM MYT

TIGA lelaki termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar Padang Serai di Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim berkata suspek OKU berusia 37 tahun yang mengalami masalah pembelajaran itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Dekeh, Padang Serai pada 5.50 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai dadah jenis syabu seberat 138.85 gram yang dibungkus dan disimpan di dalam beg silang yang dibawa suspek. Suspek yang tidak bekerja itu dipercayai mula terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak 2015.

“Seorang supek iaitu lelaki berusia 31 tahun ditahan di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Permatang Tok Dik di Padang Serai pada 3.10 petang dan polis turut merampas satu paket plastik lut sinar dan satu keratan tiub straw disyaki berisi heroin seberat 8.40 gram.

“Seorang lagi supek berusia 40 tahun ditahan di tepi jalan kampung dan polis merampas heroin seberat 34.0 gram dan syabu 4.60 gram,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azhar berkata saringan awal mendapati kesemua suspek yang positif dadah turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Lelaki OKU dan suspek berusia 40 tahun disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 39 A (2) akta sama, katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas