Berita

Tiga direman minta rasuah pemilik syarikat kecantikan

TIGA individu direman seleps disyaki meminta rasuah daripada seorang pemilik syarikat kecantikan sebagai dorongan bagi mengurangkan cukai import barangan kosmetik.
- Diterbit 9 Oktober 2024 11:49 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang pemilik syarikat penghantaran disyaki meminta rasuah kira-kira RM15,000 daripada seorang pemilik syarikat kecantikan sebagai dorongan bagi mengurangkan cukai import barangan kosmetik.

Perintah reman selama empat hari sehingga 12 Oktober terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 50-an itu dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan antara kira-kira pukul 8 hingga 10 malam tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis.

“Siasatan awal mendapati, suspek utama yang bertugas sebagai Eksekutif Operasi di sebuah syarikat penghantaran dipercayai meminta rasuah kira-kira RM15,000 daripada seorang pemilik sebuah syarikat kecantikan dengan alasan untuk diberikan kepada pegawai agensi penguat kuasa bagi mengurangkan kadar cukai import barangan kosmetik yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Pulau Pinang.

“Suspek kedua yang merupakan pemilik syarikat penghantaran tersebut dan suspek ketiga yang juga merupakan pekerja di syarikat tersebut turut ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas