SETELAH hampir tiga dekad dalam dunia muzik, kumpulan terkenal Indonesia, Ungu buat pertama kali mengadakan konsert dengan diiringi muzik orkestra.
Konsert 29th Anniversary Symphony of Unggu itu bakal berlangsung tanggal 12 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Vokalis Ungu, Pasha atau nama sebenar Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 45, berkata, Ungu tidak pernah mengadakan persembahan bersama orkestra lengkap sebelum ini.
“Konsert ini bakal meninggalkan memori manis buat kami dan peminat apabila menjadi konsert orkestra pertama dalam sejarah penubuhan Ungu sejak tahun 1996.
“Ini adalah permulaan kepada satu fasa baharu dalam karier Ungu dan kami yakin konsert ini akan meninggalkan satu pengalaman yang sukar dilupakan,” katanya pada sidang media secara virtual baru-baru ini.
Ungu bakal membawakan 17 lagu, dengan seleksi lagu galau yang digarap dengan inovasi baharu demi memberikan aksi terbaik.
“Ungu akan tampil dengan pembaharuan menyeluruh, bukan sekadar muzik tetapi mesej tersendiri kepada pencinta muzik di Malaysia.
“Kami sentiasa berusaha untuk menghadirkan inovasi baharu demi memberikan yang terbaik kepada penyokong setia sejak Ungu muncul di persada muzik.
“Malah konsep orkestra yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-29 kumpulan itu juga direalisasikan sebagai penghargaan terhadap penggemar di sini,” ujarnya.
Dianjurkan Apex Venture Global Sdn Bhd, wakilnya Amin Aizuddin berkata pihaknya yakin dengan kemampuan Ungu yang mempunyai ramai peminat tegar di sini.
Pihaknya mensasarkan sebanyak 2,865 penonton selain menjanjikan persembahan yang sangat bertenaga dan istimewa melalui sentuhan orkestra daripada JP Denny.
“Kapasiti dewan ihanya boleh memuatkan kurang daripada 3,000 penonton dan kami sarankan peminat segera mendapatkan tiket agar tidak terlepas peluang,” kongsinya.
Tiket boleh dibeli melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM288 hingga RM1588.-WILAYAHKU