Berita

Tiga beradik cilik sedia gegar RCB Minimoto Championship 2025

- Diterbit 22 Mei 2025 3:15 PM MYT

TIGA pelumba muda pasukan M8 Racing Team bersedia mencipta kejutan apabila membuat penampilan sulung dalam RCB Minimoto Championship 2025, yang bakal berlangsung di Horizon Beranang Circuit (HBC) dari 23 hingga 25 Mei ini.

Beraksi dalam kategori 6 hingga 9 tahun, Mikayla, Maleeq dan Mikael, tampil dengan keyakinan tinggi selepas menjalani latihan intensif selama dua minggu bersama pasukan profesional ZK Racing.

Pengarah Bersama HBC, Rozali Salleh, berkata kemunculan pasukan baharu seperti M8 Racing Team membawa saingan lebih sengit ke dalam kejohanan itu.

“Walaupun masih baharu dalam sukan minimoto, semangat yang ditunjukkan oleh 3M dan M8 amat mengagumkan.

“Prestasi mereka sepanjang latihan menunjukkan peningkatan mendadak. Saya tidak sabar untuk melihat bagaimana tiga beradik itu bersaing dengan peserta lain.

“Dengan pengalaman mereka dalam perlumbaan sukan pushbike di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, tidak mustahil kita akan melihat gabungan 3M di atas podium hujung minggu,” katanya.

Turut memberi sokongan ialah Azlan Abd Rahman, bapa kepada pelumba sensasi negara, Qabil Irfan yang merupakan juara dunia MiniGP 2023 di Valencia.

“Saya lihat sendiri keberanian dan kesungguhan mereka. Mikayla mempunyai potensi besar, Maleeq cepat tangkap arahan walaupun baru enam tahun dan Mikael menunjukkan keyakinan tinggi. Mereka berani sahut cabaran dalam kategori baharu,” katanya.

Qabil sendiri turut menitipkan pesanan buat ketiga-tiga pelumba cilik itu agar tidak mensia-siakan peluang.

“Dulu peluang seperti ini tiada. Ini masa mereka untuk buktikan kemampuan. Ambil peluang yang ada. Mikayla mampu memberi saingan dan buktikan gadis diusianya mampu buat. Untuk maleeq teruskan usaha .Siapa yang usaha lebih dia akan berjaya,” katanya.

Bapa tiga pelumba cilik itu, Datuk Muzri dari M8 Malaysia, berkata penyertaan kali ini lebih kepada menimba pengalaman sebelum memberi saingan serius pada musim 2026.

“Sasaran asal saya adalah tahun depan, tetapi apabila ZK Racing buka peluang pemilihan kali kedua, saya lihat mereka bersedia dari segi mental dan fizikal. Kami ambil keputusan beri pendedahan lebih awal,” katanya.

Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin, yang turut menerajui ZK Racing pula menyifatkan kejohanan minimoto sebagai platform penting mengisi jurang antara pushbike dan MotoGP.

“Minimoto adalah laluan terbaik buat pelumba pushbike melangkah ke sukan bermotor. Kategori 40cc ini cukup sesuai untuk membina asas kawalan, teknik dan daya saing sejak kecil,” jelasnya.

Beliau turut memuji komitmen keluarga tiga pelumba tersebut yang memberikan latihan berterusan.

“Mereka sangat konsisten. Kunci utama pelumba laju ialah latihan tanpa henti. Pengalaman pushbike memberi kelebihan dari segi kestabilan dan kawalan,” katanya.

Dengan penyertaan 16 pelumba cilik dalam kejohanan kali ini, termasuk tiga adik-beradik dari 3M Racing Team, saingan dijangka lebih terbuka dan sengit – sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai bakat muda mencuri tumpuan di pentas permotoran negara.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas