MELIHAT kepentingan ilmu kepada anak seni, penerbit, pengarah dan pelakon, Datuk Haris Embong, 47, kini menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD), di Universiti Utara Malaysia melalui Pusat Pengajian Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA).
Menurut Haris, dalam dunia seni, bakat dan kreativiti sering menjadi fokus utama. Namun, pendidikan adalah elemen pelengkap yang memperluaskan perspektif serta mempertingkatkan daya saing artis.
Dalam masa yang sama, Haris yang juga usahawan produk sejuk beku itu mengakui untuk menjadi anak seni yang berilmu menuntut satu pengorbanan.

Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Prof. MadyaTs. Dr. Adzrool Idwan Ismail.
Bagi beliau, pengajian di peringkat PhD bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi satu langkah strategik untuk membawa industri kreatif dan seni Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Ini sekaligus diharap dapat mengubah persepsi kebanyakan orang yang menganggap anak seni tiada ilmu yang boleh dibanggakan.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga ingin membuktikan bahawa anak seni perlu mempunyai ilmu sekaligus dapat menghapuskan stereotaip lapuk itu.
“Saya kecewa apabila ramai selebriti muda menolak pendidikan. Perlu diingat, tidak selamanya kita akan menjadi selebriti.
“Hidup ini seperti roda, ada kala di atas, ada kala di bawah. Sekurang-kurangnya dengan ilmu, apabila diri tidak lagi menjadi bualan di mulut peminat, boleh menceburkan diri dalam kerjaya lain.
“Justeru itu, walaupun sudah di usia ini, saya tetap mencari ilmu. Bukan sekadar ilmu seni tetapi juga mengenai pengurusan, pemasaran dan penjenamaan,” katanya.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan (kanan), Dekan Pusat
Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idwan bin Ismail (kiri) serta Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawan Siswa, UUM, Tuan Haji Fadzil Mohd Husin (paling kiri).
Haris juga akui ramai yang masih tidak faham kenapa anak seni perlu pendidikan tinggi.
Beliau berkata, pendidikan tinggi memberi kredibiliti kepada artis sebagai duta seni dan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Artis yang berpendidikan tinggi sering diberi peluang untuk menyertai persidangan, festival, dan pameran seni global. Ini membuka ruang untuk Malaysia dikenali sebagai hub seni bertaraf dunia.
“Pendidikan membantu artis memahami trend global dan teknologi terkini, menghasilkan karya seni yang mampu menyaingi produksi antarabangsa.
“Dengan lebih ramai artis berpendidikan tinggi, Malaysia dapat menunjukkan kepada dunia bahawa seni di negara ini bukan sekadar hiburan tetapi satu bentuk intelektualisme yang dihormati,” ujarnya.

Idwan Ismail
Artis berpendidikan tinggi jadi wakil negara, tarik pelabur
Haris juga menekankan bahawa jangan pernah terlupa impak pendidikan kepada industri seni Malaysia.
Ini kerana pendidikan membolehkan artis menghasilkan karya yang memenuhi citarasa rasa antarabangsa sambil mengekalkan elemen budaya tempatan.

Misalnya filem dan drama Malaysia berpotensi untuk bersaing di platform seperti Festival Filem Cannes atau Oscars.
Artis yang berpendidikan tinggi juga katanya dapat menarik minat pelabur antarabangsa melalui karya seni yang berkualiti dan berdaya saing selain latar belakang akademik yang kukuh.
Dalam masa yang sama, artis dapat berfungsi sebagai wakil negara dalam forum dan persidangan seni global, memperkenalkan budaya Malaysia kepada dunia.
“Pendidikan tinggi dalam seni dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berbakat tetapi juga berpengetahuan luas. Mereka ini mampu memperkasakan seni Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada naratif global,” katanya. – WILAYAHKU