TINDAKAN polis memanggil wartawan Malaysiakini berhubung laporan pertukaran kepimpinan tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini, tidak bertentangan dengan hak wartawan untuk membuat laporan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil
Beliau berkata tiada masalah untuk polis bertanya identiti sumber apabila siasatan dijalankan kerana itu hak mereka.
“Wartawan dibenarkan untuk mempertahan pendirian untuk tidak mendedahkannya.
“Wartawan ada hak membuat laporan, tapi polis juga ada hak untuk menyiasat berdasarkan undang-undang.
Mereka boleh sahaja kekal pertahan laporan mahupun sumber berita masing-masing apabila ditanya, maka jawab. Tiada isu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pusat Komuniti Lembah Pantai.
Fahmi turut menafikan imej industri media bakal terjejas berikutan insiden sedemikian, seiring kejatuhan kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan media.
“Ranking bukan semata-mata berdasarkan prestasi negara itu, tetapi prestasi relatif berbanding negara-negara lain dalam pengiraan daripada Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).
“Meskipun kita berada di paras sama berdasarkan metriks, tetapi ada negara lain yang menunjukkan kemajuan, kedudukan kita akan jatuh,” katanya.
Semalam, tiga wartawan Malaysiakini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, berhubung satu laporan yang disiarkan portal itu.
Laporan yang memetik sumber itu mendakwa PDRM sedang merancang rombakan besar-besaran membabitkan pertukaran pegawai tertingginya ke agensi lain, termasuk Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menafikan dakwaan berkenaan. – WILAYAHKU