Selebriti

Tidak rasa kemewahan sepanjang ayah jadi YB – Johan As’ari

- Diterbit 5 Oktober 2023 7:02 AM MYT

PELAKON popular Johan As’ari akui bergelar anak kepada ahli politik bukan ‘tiket’ untuk hidup mewah atau bermegah-megah.

Sebaliknya kehidupan dia sekeluarga adalah sederhana dan adik-beradiknya sentiasa berusaha keras untuk berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Bagi Johan, penglibatan bapanya, Datuk As’ari Ibrahim yang terbabit dalam dunia politik lebih 35 tahun, menjadi kebanggaan keluarga.

Johan As’ari

“Saya dibesarkan di rumah pusaka nenek yang terletak di Solok Bukit Kecil Paya Dalam, Melaka di mana ketika itu ayah saya baru sahaja menggalas tanggungjawab sebagai Yang Berhormat (YB).

“Sebelum beliau menyertai politik, beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan di sebuah akhbar tempatan selama 10 tahun. Saya tidak pernah merasai kesenangan atau kemewahan sepanjang ayah saya bergelar YB, sebaliknya saya lebih rasa bangga dan bahagia ketika melihat beliau berjasa kepada masyarakat,” ujarnya.

Menurut Johan, walaupun bapanya sibuk berkhidmat untuk rakyat, beliau pandai membahagikan masa bersama anak-anak.

“Faktor masa menjadi cabaran besar untuk saya dan adik-beradik. Ini kerana, beliau bekerja setiap hari dan masa bersamanya agak terhad. Cuma, beliau pandai membahagikan masa dan akan ambil cuti untuk keluarga.
Johan menegaskan, dia tidak bergantung sepenuhnya kepada bapanya kerana dia memiliki kemahuan dan minat tersendiri.

“Ayah adalah idola saya. Kalau nak diimbau kembali ayah pernah menjadi penyanyi sambilan di sebuah hotel sewaktu beliau bekerja sebagai wartawan.

“Mungkin darah seni itu mengalir kepada anaknya. Kakak saya adalah seorang penerbit dan penulis skrip manakala adik bongsu saya pula kini aktif di belakang tabir dalam bidang kreatif.

“Cuma adik perempuan saya saja tidak terlibat dalam seni kerana dia adalah orang kurang upaya, tetapi dia juga ada bakat seni. Jadi, saya percaya bakat yang dimiliki ini datangnya dari ayah,” tambahnya lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas