Berita

Tidak perlu kongsi gambar untuk kepuasan orang lain… “Saya dan Fattah okay sahaja” – Fazura

FAZURA menafikan rumah tangga sedang bermasalah. Foto: Ahmad Hasif Halimi (WILAYAHKU)
- Diterbit 22 Julai 2024 4:13 PM MYT

KECOH akhir-akhir dalam media sosial kononnya rumah tangga pasangan pelakon Fazura dan Fattah Amin sedang bermasalah.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Saifuddin mengakui tidak tahu bagaimana tercetusnya spekulasi mengenai hubungan rumah tangganya dengan suami.

Malah dia turut menafikan perkara itu selain berkongsi bahawa hubungannya dengan suami berada dalam keadaan baik.

“Sebenarnya saya tak tahu hujung pangkal daripada mana cerita ini bermula. Kawan-kawan mesej saya tanya hubungan dengan Fattah okay tak. Saya dan Fattah okay sahaja.

“Saya faham peminat nak ambil berat sebab dah lama tak nampak kami bersama,” katanya kepada Wilayahku ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rasmi Koleksi Merdeka 2024 Porspec KPM X Fazura di Hotel The Westin Kuala Lumpur, hari ini.

FAZURA menafikan rumah tangga sedang bermasalah. Foto: Ahmad Hasif Halimi (WILAYAHKU)

Bagi usahawan jenama Fazura itu, dia memilih untuk mengehadkan perkongsiannya di laman sosial bagi menghormati situasi yang sedang melanda Palestin.

“ Secara jujur saya memang hadkan posting di media sosial. Saya terkesan melihat mereka di Palestin.

“Jadi saya rasa tak okay untuk tunjuk kemesraan bersama keluarga di media sosial hanya untuk kepuasan orang lain. Saya tak nak tunjuk kebahagiaan bersama anak dan suami,“ katanya.

Tambah Fazura, dia mempunyai satu akaun media sosial yang khas dan ‘private’. Di situlah tempat dia berkongsi kehidupan peribadi.

“Saya ada satu lagi akaun private. Di situ sesiapa yang ada boleh lihat foto kami bersama.

“Boleh juga nampak perkembangan kami. Kalau ada spekulasi macam itu memang tak betul,” katanya.

Pelakon filem Gol dan Gincu itu turut mengakui bahawa dia jarang berjumpa Fattah disebabkan jadual kerja yang terlalu sibuk.

“Kami sangat sibuk dan jarang jumpa. Fattah keluar pagi balik malam. Tak ada masa nak tunjuk kemesraan,” katanya.

Mengulas mengenai dirinya yang diperakui badan berkaitan Palestin menerusi kolaborasi hantaran bersama di media sosial, Fazura terharu dengan penerimaan itu dan mengakui akan terus menyuarakan solidariti ke atas negara yang sedang bergolak.

“Saya akan terus bersuara dan syukur apabila turut menerima respon menerusi hantaran mereka yang turut tagged saya.

“Saya akan lakukan semampu mungkin dan saya percaya rezeki di tangan Allah saya akan tetap berkongsi perkara yang sepatutnya begitu juga dengan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Fazura mendapat pujian Netizen yang menganggap pelakon itu tidak gentar meneruskan jihad kecil bersuara mengenai kekejaman di Gaza. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas