Selebriti

Tidak kejar lelaki kaya… “Duit boleh cari” – Bkay Nair

- Diterbit 5 Mac 2023 12:41 AM MYT

PELAKON Ratu The Movie, Bkay Nair mengaku hatinya sentiasa terbuka untuk berkahwin lagi setelah bercerai dengan bekas suaminya, Mike Tan kira-kira empat tahun lalu.

Bagi Bkay atau nama sebenarnya Tryambikay Vengades,40, perkara penting dalam sesebuah hubungan adalah cinta.

“Sekarang saya single and available. Kalau saya jumpa yang sesuai nanti, biarlah yang boleh sokong kerja saya. Itu yang penting.

“Hati saya masih terbuka untuk mengenali seseorang asalkan lelaki itu mampu menjaga saya dan baik, saya akan terima.

“Tak kaya tak mengapa. Asalkan dia boleh bagi saya cinta. Itu yang Penting. Duit boleh cari. Kenalah jadi wanita yang berkerjaya.

“Kalau kaya, tapi tak ada cinta pun macam mana? Apa yang terbaik adalah seimbang antara cinta dan wang.

“Buat masa sekarang, saya sendiri masih belum bertemu pengganti yang sesuai. Jika ada rezeki untuk berkahwin lagi saya tidak menolak,” ujarnya.

BKAY Nair tidak serik untuk berkahwin lagi.

Bkay Nair sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama bekas suaminya, Mike Tan di Buudhist Maha Vihara, Brickfields pada 7 Disember 2015 dan berpisah secara rasmi pada April 2018. Bagaimanapun, pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata.

Dalam pada itu, Bkay Nair akui tidak merajuk dengan dunia Lakonan sebaliknya lebih mahu fokus perniagaan dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Bkay memberitahu dia mempunyai impian yang sangat tinggi dalam dunia perniagaan kerana mahu jenama Bkay Nair Resources dikenali di negara ini.

Kata wanita ini, dia mahu nama jenama itu menjadi besar seperti Jimmy Choo yang terkenal di persada antarabangsa.

“Saya memang sibuk dengan perniagaan latihan korporat dan pengurusan acara yang saya usahakan dan menjadi impian saya untuk berjaya dalam dunia ini.

“Apatah lagi saya mempunyai kakitangan untuk diberi perhatian dan menjaga kebajikan mereka,” katanya.

BKAY Nair lebih selesa fokus bisnes dan aktiviti-aktiviti amal.

Sementara itu, Bkay memberitahu, pihaknya mahu memperkenal keunikan dan budaya pemakaian sari di Malaysia sambil memberi kesedaran tentang Sindrom Down menjadi matlamat penganjuran acara pertunjukan fesyen World Saree Day Malaysia.

BKAY Nair bantu anak-anak Sindrom Down menerusi penganjuran acara pertunjukan fesyen World Saree Day Malaysia.

Menurut Bkay, program yang bakal menampilkan lebih 60 sari pelbagai material, tekstil dan gaya itu juga bertujuan mengumpul dana tambahan untuk perbelanjaan latihan kerjaya dan pembelajaran golongan Sindrom Down.

“Acara ini adalah gabungan antara amal, pendidikan, budaya dan fesyen yang diharap memberi peluang kepada komuniti ini menunjukkan keupayaan dan potensi mereka selain memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tradisi dan budaya pakaian tradisional India iaitu sari.

“Acara yang akan menampilkan sari seperti kanchipuram dan banarasi yang merupakan antara pakaian termahal dalam tradisi itu juga akan melibatkan peragaan oleh 10 model Sindrom Down berpengalaman.

Acara itu akan berlangsung pada 19 Mac di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat di sini bermula 2.30 petang dan akan turut menampilkan persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayan Negara dan bakal dihadiri Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas