Berita

Tiada peningkatan aras keradioaktifan di perairan Malaysia

- Diterbit 28 Februari 2025 10:30 AM MYT

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) mengesahkan tiada sebarang peningkatan bacaan aras keradioaktifan berlaku di perairan Malaysia.

Demikian ditegaskan MOSTI susulan pelepasan air sisa terawat ke Lautan Pasifik yang dilaporkan berlaku di Jepun.

Jelas MOSTI, pemantauan aras keradioaktifan di perairan negara dilakukan secara berterusan melalui pemasangan peralatan pengesanan keradioaktifan dalam air laut melalui Sistem Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS).

“Sistem berkenaan dipasang di perairan negara di Jeti Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah bagi memantau sebarang peningkatan aras keradioaktifan yang berlaku di Laut China Selatan, sekiranya menghampiri perairan negara.

“Hasil pemantauan yang telah dilaksanakan bagi tempoh 1 Oktober 2023 sehingga 31 Disember 2024 mendapati tiada sebarang peningkatan bacaan aras keradioaktifan berlaku di perairan Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

MOSTI menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai status pemantauan kemungkinan kehadiran air radioaktif yang dirawat yang dilepaskan dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi ke dalam Lautan Pasifik oleh pihak berkuasa Jepun.

Menurut kementerian itu, pelepasan air sisa terawat ke Lautan Pasifik yang dilaporkan berlaku di Jepun adalah mematuhi piawaian keselamatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta hanya menyebabkan impak radiologi yang boleh diabaikan atau tidak signifikan kepada manusia dan alam sekitar.

Mengenai persoalan berkaitan cadangan pemasangan empat stesen pemantauan baharu yang pernah diumumkan sebelum ini, jelas MOSTI, perolehan bagi empat unit sistem
pemantauan GSWMS itu sedang dilaksanakan dan sistem berkenaan dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada hujung tahun ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas