WARGA emas yang pernah mencuri tumpuan di media sosial kerana kefasihannya berbahasa Inggeris dikenali sebagai Nek Kiah, menghembuskan nafasnya yang terakhir petang semalam.
Berita sedih pemergian warga emas berusia 85 tahun itu dikongsikan di akaun instagram radio Era.
“Innalillahiwainaillahirojiun, Nek Kiah telah menghembuskan nafas terakhirnya petang tadi (semalam) jam 1.45 petang. Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana,” menerusi hantaran dimuat naik di instagram Era je.
Pemergian warga emas itu ternyata cukup dirasai bukan saja oleh orang awam tetapi golongan selebriti turut terkesan dengan pemergian Nek Kiah yang terkenal dengan telatah comelnya.
Antara rakan selebriti yang menitipkan ucapan buat warga emas itu ialah Ziana Zain dan Tyzo Xander.
“Turut berduka, Nek Kiah telah kembali kepada pencipta Al Fatihah,” tulis Tyza menerusi hantaran di Instagram.
Sementara itu menerusi laman sosial pusat jagaan yang menempatkan Nek Kiah, Mesra Home Ampang, menyifatkan wanita itu sebagai seorang yang sangat berbudi bahasa.
“Selamat jalan Nek Kiah, nenek yang sangat menghormati dan berbudi bahasa. Sering berkongsi rasa dan menasihati kita. Nenek yang sering membahagiakan kita semua. Nenak Viral.
“Jenazah nenek dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Jamiul Huda, Kampung Melayu Ampang dan di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdaya. Terima kasih semua yang mendoakan Nek Kiah, mudah urusan nenek. Moga Allah cucuri rahmat ke atas roh nenek,”menerusi perkongsian berkenaan. – WILAYAHKU