TIADA lagi isu teknikal berbangkit melibatkan pesawat baharu Airbus A330neo milik Malaysia Airlines yang dihentikan sementara pada 22 dan 23 Disember lalu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, ini selepas pesawat itu berdepan isu teknikal disebabkan oleh pengeluar pesawat iaitu Airbus dan pembekal enjin Rolls-Royce.
“Secara umumnya, pengeluar pesawat di seluruh dunia mengalami masalah kualiti pengeluaran pesawat yang disebabkan antaranya kekurangan bahan mentah untuk penghasilan alat ganti pesawat dan tenaga kerja mahir di industri pengeluaran pesawat.
“Bagi maksud isu teknikal Airbus A330neo milik Malaysia Airlines, kedua-dua Airbus dan Rolls-Royce adalah bertanggungjawab untuk memastikan pesawat ini berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan mengenai tindakan yang diambil susulan Malaysia Airlines yang menggantung sementara operasi pesawat baharu Airbus A330neo sekurang-kurangnya 48 jam selepas melakukan penerbangan sulung ke Melbourne pada 19 Disember lalu akibat masalah teknikal serta kebimbangan mengenai kualiti pengeluaran serta proses penghantarannya.
Hasbi berkata, oleh yang demikian, Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, telah melaksanakan langkah-langkah mitigasi untuk mengenal pasti dan mengatasi masalah teknikal tersebut dengan kerjasama Airbus dan Rolls-Royce melalui penggantian komponen yang bermasalah.
“Pesawat berkenaan telah meneruskan operasinya pada 24 Disember 2024 dan tiada lagi isu teknikal yang berbangkit,” katanya.
Jelas beliau, ketika ini, MAG mempunyai sebuah pesawat Airbus A330neo dan dijangka baki sebanyak 19 buah pesawat itu akan diterima mulai Februari ini hingga tahun depan.
Selain itu katanya, MAG juga mempunyai sebuah enjin gantian untuk kegunaan Airbus A330neo dan tiga buah enjin gantian dijangka diterima secara berperingkat mulai suku ketiga 2025.
“Susulan daripada itu, pesawat Airbus A330neo tersebut telah melaksanakan 101 penerbangan setakat 12 Februari 2025 tanpa sebarang isu melibatkan laluan Melbourne (MEL); Kota Kinabalu (BKI); Doha (DOH); Kuching (KCH); dan Kansai (KIX).
“Dalam hal ini, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga telah menerima laporan berkenaan isu teknikal ini dan berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan yang telah dilaksanakan,” katanya.
CAAM katanya, akan memastikan bahawa langkah-langkah kawalan kualiti oleh Malaysia Airlines dilaksanakan dengan sewajarnya untuk menjamin keselamatan dan kebolehpercayaan operasi syarikat penerbangan tersebut.
Jelasnya, Malaysia Airlines juga telah meminta pihak Airbus dan Rolls Royce untuk memastikan kawalan kualiti yang lebih ketat terhadap pesawat-pesawat baharu yang akan diterima pada masa hadapan. – WILAYAHKU