Berita

Tiada kesinambungan dalam pendidikan… ‘Mangsanya adalah kanak-kanak’ – Pengasas Genius Aulad

PENGASAS Genius Aulad dan GAINS Education Group, Zaliza Alias. 
- Diterbit 29 Mei 2025 4:23 PM MYT

“SUDAH tiba masanya kita menyatukan sistem ini di bawah satu entiti yang memfokuskan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, bermula dari tadika hingga ke sekolah rendah,” luah pengasas jenama prasekolah Islamik terkemuka di Malaysia Genius Aulad dan GAINS Education Group, Zaliza Alias.

Zaliza berkata demikian pada acara Family Fun Run Genius Aulad 2025 yang berlangsung di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.

PENGASAS Genius Aulad dan GAINS Education Group, Zaliza Alias.

Menurut Zaliza yang juga aktivis pendidikan, isu realiti semasa sistem pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia yang kini berada di bawah pelbagai agensi, termasuk JKM, KPM dan lain-lain, perlu dititikberatkan.

Bagi Zaliza, pendidikan awal bukan sekadar tempat jagaan sementara tetapi ia adalah asas kepada masa depan negara.

“Saya rasa Kementerian Pendidikan perlu memandang bahawa pendidikan swasta terutamanya pendidikan awal kanak-kanak, perlukan satu kesinambungan yang jelas daripada pendidikan awal kanak-kanak ke peringkat sekolah rendah. Kena ada kesinambungan yang jelas dan bukannya diasingkan.

“Sokongan yang perlu diberikan bukanlah tentang ikut sahaja silibus yang disediakan kerana setiap kanak-kanak itu berbeza. Latihan atau kursus yang perlu diberikan kepada guru dan ibu bapa juga berbeza.

“Sebagai seorang yang telah melalui landskap pendidikan awal selama 25 tahun, perlu ada usaha untuk kita lebih mantapkan kesinambungan silibus yang jelas dari awal sehinggalah nak masuk awal sekolah rendah.

“Pendidikan awal bawah Jabatan kebajikan masyarakat berbeza dengan silibus sekolah rendah bawah Kementerian Pendidikan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Zaliza menjelaskan, tanpa pelarasan dalam sistem pendidikan ini akan memberi kesan negatif kepada kanak-kanak.

“Apabila tidak ada kesinambungan, pendidikan awal lain, sudah masuk sekolah rendah lain. Tidak ada kesinambungan di situ. Mangsanya adalah kanak-kanak di mana mereka yang terima impak daripada ketidakselarasan ini.

“Sebenarnya, minat anak-anak dalam pendidikan adalah bermula daripada asas. Disebabkan itulah saya sangat menekankan soal pendidikan awal kanak-kanak seperti Genius Aulad ni. Misalnya kami buat lagu, siri animasi dan bermacam-macam lagi kerana ini sangat penting,” katanya.

Zaliza (tengah) menjelaskan, tanpa pelarasan dalam sistem pendidikan ini akan memberi kesan negatif kepada kanak-kanak.

Selain penyelarasan dasar pendidikan, Zaliza juga menyeru agar diberikan pengiktirafan yang setara terhadap profesionalisme pendidik awal kanak-kanak.

“Jadi cadangan saya adalah sistem pendidikan ini perlu diletakkan bawah satu agensi yang sama.

“Agensi ini boleh beri sokongan kepada ibu bapa dan pengusaha pendidikan. Apabila sebut pengusaha pendidikan ini merujuk kepada swasta. Mereka ini seolah-olah diketepikan.

“Kenapa saya berkata demikian, apabila kita bercakap soal pra sekolah, biasanya kita bercakap pra sekolah bawah Kementerian Pendidikan tetapi kita tidak menyentuh tentang pengusaha-pengusaha pendidikan di sektor swasta.

“Jadi dalam hal ini amat perlu satu agensi untuk keselarsan,” ujarnya.

 

10,000 peserta sertai Family Fun Run Genius Aulad 2025

Penganjuran Family Fun Run Genius Aulad 2025 melakar sejarah apabila disertai 10,000 peserta di kalangan ibu bapa dan anak-anak yang berlangsung di MAEPS Serdang, semalam.

Acara anjuran Genius Aulad iaitu jenama prasekolah Islamik terkemuka di Malaysia diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-25 penubuhannya yang melibatkan acara larian sejauh 2.5 kilometer.

Zaliza Alias berkata, program tersebut menjadi lambang kukuh kepada komitmen institusi itu dalam membina asas pendidikan awal yang menyeluruh, menyeronokkan dan berpaksikan nilai kekeluargaan.

FAMILY Fun Run Genius Aulad 2025 melakar sejarah apabila disertai 10,000 peserta di kalangan ibu bapa dan anak-anak

Menurutnya, sambutan kali itu bukan sekadar meraikan pencapaian masa lalu tetapi sebagai isyarat bahawa pendidikan awal kanak-kanak memerlukan pendekatan yang lebih dekat dengan kehidupan sebenar dan masyarakat.

“Dengan tema “Itʼs a Small World After All”, acara larian ini bukan sekadar aktiviti riadah sebaliknya memperkenalkan elemen pembelajaran melalui titik pemeriksaan interaktif seperti pejabat pos, hospital, kedai roti dan balai bomba yang direka menyerupai bandar mini bagi memberi pengalaman dunia sebenar kepada kanak-kanak.

“Malah suasananya juga mengharukan apabila melihat ibu bapa dan anak-anak berjalan bersama, berpimpinan tangan, menikmati detik kecil yang sangat bermakna. Inilah erti pendidikan bukan sekadar akademik, tetapi membina hubungan dan nilai,” katanya.

Family Fun Run Genius Aulad 2025 turut disertai warga pendidik institusi itu dari lebih 45 cawangan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Zaliza memberitahu, program itu turut menampilkan detik istimewa menerusi pelancaran semula Lagu Sekolah Genius Aulad yang diterbitkan pada tahun 2005 menerusi kolaborasi bersama kumpulan nasyid Raihan dan Islamic Relief Worldwide.

Kata beliau, lagu asal itu ditulis oleh anak Genius Aulad sendiri yang kini sudah pun mempunyai anak sendiri dan dinyanyikan semula oleh generasi baru Genius Aulad.

“Kami merancang untuk menerbitkan video muzik rasmi sebagai hadiah buat semua yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

“Genius Aulad bukan sahaja institusi prasekolah, malah turut berperanan sebagai konsultan pendidikan kepada siri animasi popular seperti Omar & Hana dan Didi & Friends, mencerminkan peranan holistik institusi itu dalam dunia pendidikan kanak-kanak,” kataya.

Ditubuhkan pada tahun 2000, Genius Aulad kini mempunyai lebih 80 cawangan di Malaysia dan Indonesia, dan bernaung di bawah GAINS Education Group Sdn Bhd yang turut mengendalikan IDRISSI International School dan Sekolah Tinta. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas