Berita

Tiada kecelaruan pentafsiran T15 – Anwar

- Diterbit 29 Oktober 2024 12:12 PM MYT

DATUK Seri Anwar Ibrahim menafikan wujudnya kecelaruan pentafsiran individu yang diklasifikasikan sebagai berpendapatan tinggi atau lebih dikenali sebagai T15.

Ia sebagai menjawab soalan dibangkitkan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) yang mendakwa wujudnya kecelaruan mentafsirkan T15 dalam kalangan kementerian.

Tegas Perdana Menteri, melalui ucapan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli atau Kementerian Kewangan, ia berdasarkan kepada Jabatan Perangkaan (DOSM) yang menetapkan pendapatan RM13,000.

“Dan kita fikir agak rendah. Dan apakah kita fikir naik RM15,000 atau RM20,000, itu sedang dibincangkan.

“Jadi tidak ada percanggahan sama sekali dan ini kita rujuk kepada mesyuarat Kabinet, mengapa kita tetapkan T15 dan T15 itu ditingkatkan jumlah pendapatan,” katanya sewaktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau melahirkan rasa rungsing dengan sesetengah pihak yang tidak banyak membicarakan soal mempertahan kepentingan golongan bawahan yang mewakili 85 peratus.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai pendefinisian T15 beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji takrifan bagi T15 selepas berpandangan jumlah yang ditetapkan DOSM bagi golongan itu ketika ini terlalu rendah.

Katanya, perkara itu sedang dibincangkan Kementerian Kewangan; Kementerian Ekonomi; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan jabatan berkaitan bagi menaikkan sedikit kuantum T15 supaya tidak membebankan dan pendapatan seisi keluarga tidak terikat dengan takrifan sedia ada. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas