KECOH dalam media sosial apabila netizen mahupun pempengaruh mempertikaikan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik Tun Musa Aman sebagai Yang di-pertua Negeri Sabah baharu.
Dakwa mereka, Anwar cakap tak serupa bikin apabila melantik individu yang terpalit dengan isu rasuah, sedangkan dirinya melaungkan ‘perang’ terhadap perbuatan terkutuk itu.
Dalam hal ini, mungkin ada yang terlepas fakta atau info terkini tentang Musa Aman sehingga menyebabkan tuduhan tidak berasas terhadap Anwar.
Menurut Anwar, isu pelantikan itu tidak perlu dibangkitkan memandangkan Musa sendiri telah dilepas dan dibebaskan daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah, empat tahun lalu.
“Keputusan melepaskan Tun Musa itu keputusan 2020 semasa Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menjadi Perdana Menteri.
“(Jadi sekarang ini) Apa isu dia? Kemudian melalak seolah jadi masalah.
“Ada kes dibawa (ke mahkamah), jika tidak ada, (maka) kes ditutup,” katanya.
Anwar berkata, pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah sebagai Yang di-pertua Negeri itu memang telah dimaklumkan dan dirujuk kepada beliau.
Bagaimanapun katanya dalam isu tersebut, beliau sebagai Perdana Menteri maklum batasan bahawa dalam Perlembagaan, kuasa lantikan Yang di-pertua Negeri adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Sekarang setelah Agong perkenan (pelantikan Musa), apa pendirian saya? Saya terima baik keputusan Agong dan mendoakan sebaiknya supaya Tun Musa Aman menjadi seorang Yang di-pertua Negeri yang baik untuk Sabah,” katanya.
Terdahulu, pelantikan Musa sebagai Yang di-pertua Negeri Sabah mencetuskan perdebatan yang mengaitkan beliau dengan tuduhan rasuah lampau dan pembebasannya pada 2020.
Baru-baru ini, Musa menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong, menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini. – WILAYAHKU