Berita

Tiada fasiliti, stadium baharu untuk sukan SEA 2027

Foto: Jabatan Penerangan Malaysia
- Diterbit 4 Disember 2024 2:03 PM MYT

KERAJAAN tidak berhasrat untuk membina stadium atau fasiliti sukan yang baharu untuk tujuan sukan SEA 2027, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan akan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada sukan untuk kegunaan pada 2027 termasuk di Sarawak selepas kordinasi dan perbincangan lanjut diadakan.

“Kementerian akan mengadakan mesyuarat dengan Kerajaan negeri setelah penubuhan jawatankuasa pengelola dan sekretariat sukan SEA 2027.

“Jadi sehingga kini kita tidak ada Hasrat untuk bina fasiliti sukan yang baharu untuk tujuan sukan SEA 2027,” katanya dalam pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang memintanya menyatakan rancangan untuk menambah baik stadium dan fasiliti sukan serta membangunkan perkampungan atlet di seluruh Sarawak bagi memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 di negeri itu berjalan lancar.

Sementara itu, Adam berkata pemilihan atlet dijalankan Majlis Sukan Negara dengan Kerjasama persatuan sukan melibatkan antara 38 hingga 44 jenis sukan dipertandingkan dan pemilihan atlit berlaku dari masa ke semasa menerusi banyak saluran.

Beliau berkata antaranya seperti Sukan Malaysia dan juga sukan sukan terbuka.

“Kita beri peluang sebenarnya sukan SEA ini sebagai platform atlit atlit baharu berbanding atlit atlit senior kerana ini adalah salah satu temasya sukan, yang tersedia untuk mereka mewakili negara pada peringkat awal karier mereka sebelum berinjak ke sukan lebih besar seperti sukan Asia, Komanwel atau Olimpik,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas