Berita

Tiada diskriminasi gender dalam kenaikan pangkat ATM

Gambar hiasan
- Diterbit 12 Februari 2025 11:06 AM MYT

TIADA diskriminasi sama ada kepada anggota wanita mahupun lelaki.

Demikian tegas Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari mengenai peluang kenaikan pangkat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan anggota wanita turut diberikan peluang meningkatkan keupayaan mereka.

Malah jelas beliau, ada beberapa aspek dalam ATM, penglibatan wanita agak tinggi contohnya melibatkan pentadbiran dan perkhidmatan kesihatan.

“Dari segi perjawatan, memang kita (Kementerian Pertahanan) beri ruang.

“Peluang anggota wanita dalam ATM untuk dilaksanakan kenaikan pangkat adalah terbuka berdasarkan keupayaan mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai peluang kenaikan pangkat dalam kalangan anggota wanita.

Adly menambah, dalam masa sama, peningkatan kepada pengetahuan akan memberikan jaminan kepada peningkatan dalam tugas dan juga pangkat.

Terdahulu beliau memberitahu, sehingga 31 Disember 2024, jumlah keseluruhan anggota wanita yang berkhidmat di dalam ATM adalah seramai 9,550 orang dengan pecahan 6,574 daripada tentera darat, 1,953 anggota tentera laut dan 1,023 anggota tentera udara.

Katanya, kerajaan juga sentiasa komited menghantar anggota dan pasukan keselamatan khususnya yang melibatkan anggota wanita dalam pelbagai misi penting.

“Sehingga 31 Disember 2024, seramai 222 anggota wanita ATM telah berkhidmat di luar negara. Mereka terlibat dalam misi kemanusiaan, misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), latihan bersama negara-negara rakan strategik serta tugasan diplomatik ketenteraan.

“Sehingga kini, ATM telah melaksanakan tiga misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa dengan penglibatan 118 anggota wanita,” katanya.

Katanya, menerusi Op STARLIGHT bagi memberi bantuan perubatan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar, Bangladesh, ia melibatkan penugasan seramai 89 anggota wanita (36 peratus daripada 245 jumlah keseluruhan anggota misi).

Jelas beliau, Op STARLIGHT bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye pula melibatkan penugasan seramai 21 anggota wanita (19 peratus daripada 110 penglibatan keseluruhan anggota misi).

“Misi membawa pulang rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan di Malaysia melibatkan penugasan lapan anggota wanita (11 peratus daripada 70 penglibatan keseluruhan anggota misi).

“Selanjutnya, seramai 85 anggota wanita turut dihantar bagi penugasan dalam Misi Pengaman PBB di Lubnan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas