Berita

Tiada cukai baharu, kerajaan ambil kira kedudukan ekonomi semasa

- Diterbit 5 Disember 2024 11:10 AM MYT

KERAJAAN belum berhasrat untuk memperkenalkan cukai baharu dalam tempoh terdekat, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Menurut kementerian itu, ia mengambil kira keperluan hasil, kedudukan ekonomi semasa, struktur, batasan dan cabaran sistem percukaian negara secara keseluruhan, ruang penambahbaikan dan yang lebih penting kesan serta kesediaan rakyat.

Jelasnya, pada masa ini kerajaan memfokus kepada meningkatkan pematuhan dan menambah baik sistem cukai sedia ada.

“Ini termasuk melaksanakan langkah-langkah cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Seri S. Vell Paari sama ada kerajaan merancang untuk memperkenalkan cukai baharu dalam tempoh terdekat ini.

MoF menambah, pihaknya akan melaksanakan langkah-langkah cukai seperti pelaksanaan cukai minimum global mulai 1 Januari ini ke atas syarikat multinasional yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro.

Ia katanya, seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah.

Pelaksanaan lain jelasnya, adalah e-invois mulai 1 Ogos lalu secara berperingkat kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta sebagai langkah meningkatkan pematuhan cukai dan pengauditan berkesan bagi mengurangkan ketirisan hasil.

“Mulai 1 Julai 2025, pelaksanaan e-invois akan turut diperluas kepada pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya.

“Kemudian kenaan Cukai Dividen pada kadar dua peratus mulai tahun taksiran 2025 ke atas pendapatan dividen bagi menjadikan struktur cukai pendapata individu lebih progresif.

“Seterusnya Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) secara berfasa berdasarkan kepada jenis surat cara atau perjanjian bagi memastikan sistem penyeteman dan pembayaran secara kendiri lebih cekap dan turut membantu dalam peningkatan pematuhan,” katanya.

Dalam pada itu MoF memberitahu, semakan semula kadar duti eksais ke atas produk minuman bergula mulai 1 Januari 2025 dilaksanakan untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya melalui pencegahan penyakit diabetes dan obesiti.

Semakan semula kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan pula jelasnya, akan bermula 1 Mei 2025.

Katanya, bagi melaksanakan langkah ini, sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan industri sedang dilaksanakan untuk dimuktamadkan.

Selain itu jelas MoF, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 telah digubal bagi mengukuhkan tadbir urus dan disiplin fiskal negara.

“Akta ini menekankan prinsip pengurusan fiskal yang bertanggungjawab meliputi hasil, perbelanjaan, pinjaman dan hutang serta risiko fiskal ke arah memastikan keseimbangan antara agenda pembangunan negara dan kemampanan
kewangan awam.

“Kerajaan akan terus memastikan langkah-langkah cukai yang telah diumumkan bersifat lebih progresif, mudah ditadbir, tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi serta pada masa yang sama dapat menjana hasil yang mampan kepada Kerajaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas