Berita

Tiada cadangan wujud suruhanjaya khas hal ehwal agama lain – Halimah Sadique

- Diterbit 7 September 2020 7:52 AM MYT

KERAJAAN tidak bercadang menubuhkan satu suruhanjaya khas bagi menjaga hal ehwal agama lain bagi menggantikan Rang Undang-undang Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional yang dibatalkan sebelum ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata ini berikutan peruntukan perundangan sedia ada, dilihat sudah mencukupi untuk menjaga keharmonian antara kaum dan agama seperti Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Kementerian Perpaduan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menubuhkan satu jawatankuasa harmoni antara kepelbagaian agama yang dianggotai individu lantikan menteri agama.

“Bagi pihak kementerian pula, lantikan adalah dalam kalangan ketua-ketua badan agama serta pengerusi persatuan badan agama mewakili kepentingan agama lain selain agama Islam,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Paul Igai sama ada kementerian akan mewujudkan satu suruhanjaya yang baharu menggantikan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional yang dibatalkan serta menubuhkan unit lain bagi menjaga hal ehwal agama lain di Sarawak.

Halimah berkata mereka yang sengaja memecahbelahkan perpaduan kaum dan keharmonian boleh disiasat dan didakwa di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Pada sidang Dewan Rakyat lepas, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional berikutan undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani isu berkaitan agama dan kaum ketika ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas