Oleh AZLAN ZAMBRY
Foto oleh SHUAIB AYOB
MENYEDARI keperluan menyediakan tenaga pakar di dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang mencukupi untuk kesejahteraan negara, konglomerat milik negara, Telekom Malaysia (TM) melalui Yayasan TM (YTM) mengorak langkah untuk menyemarakkan lagi minat pelajar sekolah mengenai kepentingan pembelajaran berteraskan STEM.
Bagi mereka, aliran STEM mestilah dipupuk dari peringkat bangku sekolah agar kepakaran tempatan dalam bidang berkaitan dapat diperbanyakkan selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan enrolment pelajaran aliran Sains dan Matematik ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Untuk itu, Pengarah Yayasan TM, AINOL SHAHARINA SAHAR berkongsi dengan wartawan kanan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY dan jurugambar, SHUAIB AYOB aspirasi TM untuk pembangunan STEM menerusi penganjuran The Tech Titan Challenge sekali gus dapat meningkatkan minat para pelajar untuk menyambung pengajian di menara gading dalam aliran berkenaan.
WILAYAHKU : Boleh puan terangkan mengenai Program The Tech Titan Challenge?
AINOL SHAHARINA : Ini adalah projek perintis dalam menyokong pendidikan dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Jadi Program The Tech Titan Challenge merupakan pertandingan melibatkan 25 buah sekolah yang akan berentap dan menunjukkan keupayaan dalam bidang teknologi dan inovasi.
Setiap sekolah perlu menghantar tiga orang pelajar dengan seorang guru yang akan menjadi fasilitator. Ini bermakna 100 orang akan terlibat dalam program ini.
Jadi, apa yang hendak kita lakukan adalah untuk menyemarakkan pendidikan STEM dengan lebih luas. Melalui rakan strategik, Creative Minds, kita bangunkan sebuah modul iaitu TM Future Skills.
Apabila kita menjalankan program tersebut, kita telah mempunyai tiga buah sekolah angkat dan pada masa sama, kita perlu menyemarakkan semangat murid-murid sekolah untuk menarik minat mereka menyertai pertandingan The Tech Titan Challenge 2023 yang akan mengkhususkan kemahiran di dalam inovasi dan digital.
Apa yang mendorong YTM untuk membangunkan bidang STEM ini untuk peringkat kebangsaan?
Saya rasa YTM sudah mengalami satu tranformasi, dari tahun 2021 kita mengorak langkah transformasi 2.0 di mana pada zaman dahulu, ia berteraskan kepada pendidikan sahaja.
Jika dahulu ia hanya dikenali sebagai pemberi biasiswa dan habis di situ sahaja. Tetapi kita lihat apabila pemberian biasiswa ini, ia perlu bertitik tolak dari awal iaitu di bangku sekolah. Jadi sewaktu di tingkatan 4 dan tingkatan 5, YTM telah pun memberikan biasiswa melalui program Young Leaders kepada lebih kurang 400 pelajar dengan nilai RM3,000 untuk dua tahun.
Selepas mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi kejayaan yang cemerlang, mereka akan terus mendapat biasiswa daripada YTM. Jadi program pembenihan itu telahpun bermula seawal daripada pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5 kerana mereka telah pun mempunyai persiapan minda yang cukup dan dari situlah lahirnya idea untuk menyemarakkan pendidikan berteraskan STEM.
Kalau lihat di sekolah, selain daripada STEM, semua sudah tahu mengenainya namun golongan murid dilihat tidak mempunyai semangat atau inovasi untuk menyertai aliran STEM jika dibandingkan dengan sukan dan sebagainya.
Untuk menarik minat pelajar, kita mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan ini dan sekiranya kita dapati ada kejayaan dan sokongan yang memberangsangkan pada tahun ini, kita akan anjurkan dengan lebih menarik dan lebih besar untuk tahun hadapan.
Apakah manfaat yang diterima oleh komuniti STEM dan mungkin ada usaha bagi memenuhi keperluan industri?
Jika kita nampak dari segi pendidikan khususnya aliran yang mendokong STEM, ia mencatatkan trend penurunan. Jadi kita mendokong hasrat kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta visi dan misi TM yang ingin melahirkan generasi yang peka kepada digital. Kita dapati untuk memulakan ini, ia perlu bermula dari bangku sekolah. Tetapi insya-Allah jika melalui program ini mempunyai potensi yang luas, maka kita mungkin akan membuka peluang yang sama untuk pelajar di peringkat tingkatan 3 ke bawah.
Bayangkan jika kita tidak mempunyai teras ini mahupun pendirian untuk menjalankan program ini, jadi STEM tidak dapat disemarakkan. Jadi, untuk ke arah itu, kita perlu mencari sesuatu bagi menyemarakkan dan akan membuka lebih banyak peluang untuk orang ramai kenali program dan objektif dan ditambah pula dengan hadiah yang lumayan menjadikan STEM ini akan mula dikenali dan diminati golongan sasaran kami.
Apabila peserta itu sudah mula gembira dan ada percambahan minat dalam bidang tersebut, ia tentunya dapat mengurangkan jurang pelajar yang tidak berminat mempelajari aliran STEM dan sekali gus membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meningkatkan pelajar dalam aliran STEM.
Apakah impak sekiranya pembudayaan STEM ini tidak dipupuk dari peringkat sekolah dan apakah kesannya terhadap industri?
Kita kena faham, impak kepada komuniti dan pelajar itu sendiri, satunya kita dapat mengurangkan jurang digital. Melalui Revolusi Industri (IR) 4.0, apa yang penting, jika seorang pelajar itu tidak dilengkapi pendidikan dengan kepentingan pekerjaan dan industri akan datang, ia mungkin akan tertinggal ke belakang.
Sekiranya kita berikan pendedahan mengenai pendidikan jurusan STEM ini, secara automatik telah melengkapkan pelajar itu dengan jurusan yang akan memberikan pekerjaan dan mereka tidak akan tertinggal dengan teknologi.
Contohnya hari ini kita bercakap mengenai Data Raya (Big Data) dan coding dengan situasi hari ini, ramai golongan anak muda hari ini tidak mahu terikat dengan satu-satu pekerjaan. Jika mereka belajar coding, mereka boleh lakukan kerja sendiri di mana-mana lokasi dan pada bila-bila masa. Malah mereka juga boleh melaksanakan programming dan pelbagai bidang dengan membuat satu coding yang pasti memperolehi bayaran tinggi.
Penerapan bidang STEM ini tidak menjadi pilihan di peringkat sekolah menengah sehingga ke IPT, bagaimana strategi YTM agar dapat mengembalikan semangat untuk mempelajari STEM dan Sains Teknologi dan Inovasi (STI)?
Pertamanya mereka menyatakan aliran ini sukar dan keduanya ia mungkin membosankan. Kita mesti laksanakan kepelbagaian program untuk menunjukkan bidang yang diterokai ini tidaklah membosankan dan mereka akan meraih pelbagai manfaat melalui STEM dan STI.
Contohnya, ada beberapa pelajar dari sebuah sekolah mampu membina aplikasi coding melibatkan teknologi dan ia boleh selaraskan sebuah kereta melalui fungsi robotik dan berfungsi dengan baik. Pastinya mereka teruja dengan cara pendedahan diberi.
Jika diterapkan pengalaman ini kepada pelajar sekolah, tidak mustahil mereka akan berminat untuk mempelajari bidang STI. Satu lagi, kaedah terbaharu untuk membina coding jauh lebih mudah berbanding 10 hingga 20 tahun lalu. Malah pelajar sekolah juga sudah mampu untuk membuat coding dan tidak lagi membosankan berbanding tahun-tahun terdahulu.
Adakah program tersebut menepati kehendak industri meskipun ia melibatkan pelajar sekolah menengah?
Di bawah YTM ini, kita hendak pastikan program ini selari dengan kehendak industri. Bila kita buat program pendidikan dengan KPM, kita mahu sokongan industri juga supaya pelajar yang minat di dalam aliran berkenaan tahu bahawa peluang itu terbuka contohnya ke TM dan bakal menjadi jurutera atau sebagai juruteknik. Ia juga merupakan bridging program dan ada kesinambungan daripada bangku sekolah hingga ke menara gading seterusnya peluang pekerjaan yang terjamin.
Ini kerana kita melihat kebanyakan pelajar tidak mempunyai idea sekiranya ditanya mengenai cita-cita. Melalui program ini, kita memberikan pendedahan awal dan ia merupakan inisiatif untuk menyedarkan pelajar mengenai kepentingan STI ini.
Bagaimana pemilihan peserta untuk menyertai program Tech Titan Challenge?
Untuk program ini, kita buka penyertaan untuk 25 buah sekolah dan dipilih dengan kerjsama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Terbuka kepada semua dan mereka mesti melalui pitching session dan pada masa sama kita akan tanya mengenai idea dan inovasi yang hendak diketengahkan.
Hanya yang berpotensi akan dipilih, mereka akan dilatih. Ia akan dikomersial dengan kerjasama Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) TM dan kolaborasi ini dilaksanakan bagi menilai keberhasilan produk itu sendiri.
Kita akan bekerjasama dengan KPM bagi menguar-uarkan pertandingan. Dari segi peringkat pertama, mereka dikehendaki video pitch dengan idea masing dan 25 teratas akan dipilih.
Apakah ganjaran yang akan diterima oleh pemenang?
Untuk pemenang utama, mereka akan menerima hadiah wang tunai , trofi dan juga sijil penghargaan.
Untuk yang tidak menang, YTM sendiri mempunyai tiga sekolah angkat dan akan dikembangkan lagi. Sekiranya ada potensi, YTM akan ambil sekolah tersebut menjadi sebahagian daripada sekolah angkat.
Selain itu, kita akan lihat semangat dan komitmen dan mereka masih dalam pemantauan. Sekolah angkat sedia ada, kami membina makmal digital di sekolah itu dengan kerjasama sekolah terbabit lengkap dengan alatan untuk membina pengaturcaraan coding, mesin pencetak 3D dan latihan untuk mempelajari teknologi tersebut.