PASUKAN pelayaran Malaysia, The Monsoon mencipta sensasi apabila berjaya mara ke suku akhir (penyingkiran 1/4) Piala Emas Star Sailors League (SSL) di Gran Canaria, Sepanyol selepas muncul juara Kumpulan 1 pada pusingan penyingkiran 1/8.
Kemaraan The Monsoon itu bertambah berharga apabila mereka sempat berada di kedudukan terakhir kumpulan pada perlumbaan ketiga pusingan penyingkiran 1/8 sebelum kembali mengungguli persaingan pada pusingan terakhir semalam.
Sementara itu, kapten pasukan Megat Danial Megat Najmuddin menerusi kenyataan memaklumkan kemaraan pasukannya ke suku akhir merupakan sesuatu di luar jangkaan dan menyifatkan saingan ‘setinggi gunung’ menanti mereka.
“Kami menepati matlamat untuk menduduki tangga 20 teratas dengan membuat kejutan ke atas beberapa negara yang berada di ranking dunia lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.
The Monsoon bersama pasukan Hungary layak ke suku akhir selepas masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua Kumpulan 1 sekali gus menoktahkan saingan buat pasukan ranking keempat dunia Amerika Syarikat (AS) dan Argentina.
Pasukan ranking ke-58 dunia itu bakal beradu tenaga dengan tiga lagi kuasa besar sukan pelayaran termasuk Great Britain (ke-2), Perancis (ke-6) dan Denmark (ke-7) apabila mereka diletakkan dalam Kumpulan 1.
The Monsoon akan diketuai oleh dua pelayar Olimpik, Khairulnizam Mohd Afendy sebagai pengemudi dan Nur Shazrin Mohamad Latif sebagai jurutaktik bagi persaingan pusingan penyingkiran 1/4 yang bakal bermula esok hingga Jumaat ini.
Pasukan turut dibarisi sembilan atlet lain iaitu Ahmad Faizul Aswad Mohamed, Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri, Ahmad Khairulhafiz Mohd Khmbali, Mohd Azhar Sadon Zubir, Uzair Amin Mohd Yusof, Mohd Akiyuddin Mat Zaki, Mohd Saifullah Mohd Esa, Mohd Amsyar Syahmi Mohd Ajwi (simpanan) dan Rizal Mahadi Sazili (simpanan). – BERNAMA