Berita

TH tidak terima laporan rasmi jemaah haji terkandas

- Diterbit 15 Mei 2024 11:45 AM MYT

LEMBAGA Tabung Haji (TH) memaklumkan tidak menerima sebang laporan rasmi berhubung rakyat Malaysia yang terkandas di Makkah dan Madinah akibat terpedaya dengan pakej haji menggunakan visa pelancong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata bagi para jemaah yang merasakan diperdaya dengan janji untuk menunaikan haji perlu membuat aduan kepada TH, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk siasatan lanjut.

“Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam negara supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah yang ditawarkan segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH.

“Turut diingatkan kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah menjadi satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Mohd Na’im, beliau turut menasihati mana-mana pihak yang berada di Tanah Suci untuk pulang ke tanah air sekiranya tidak mempunyai visa haji yang sah.

Baru-baru ini media melaporkan, TH telah diarah untuk menyiasat kejadian 300 bakal jemaah haji yang dilapor terkandas di Makkah selepas terpedaya dengan pakej haji murah ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi turut mengumumkan pelaksanaan penalti berjumlah 10,000 riyal (RM12,641) jika melanggar peraturan musim haji 2024 tanpa permit haji. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas