Berita

TFC Idamkan tiga mata penuh di laman sendiri malam esok

- Diterbit 8 Mac 2021 1:05 PM MYT

TERENGGANU FC (TFC) tetap mengimpikan untuk menggenggam tiga mata ketika bertemu lawan yang lebih hebat, Selangor FC atau dikenali sebagai Red Giants dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam esok.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata meskipun pasukan Selangor antara yang diramal sebagai juara musim ini, namun beliau optimis bahawa anak buahnya akan mampu menghadiahkan kemenangan buat penyokong skuad Penyu, apatah lagi bakal beraksi di laman sendiri.

“Impian saya mendapatkan tiga mata di tempat sendiri. Itu memang sasaran pertama. Memang pasukan Selangor bagus dari semua aspek termasuk pemainnya, permainan dan taktikalnya.

Berdasarkan perlawanan pertama mereka hari itu (Sabtu lepas) dapat dilihat Selangor FC bukanlah satu pasukan yang mudah untuk dihadapi tetapi kita akan kaji itu semua untuk persiapkan pasukan malam esok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, Selangor FC menempa kemenangan 3-1 ke atas pasukan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Nafuzi berkata senarai kesebelasan utama yang bakal diturunkan malam esok akan ditentukan pada sesi latihan petang ini memandangkan skuad itu baru sahaja pulang dari Shah Alam semalam setelah berjaya menewaskan UiTM FC 2-1 pada Sabtu lepas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas