Berita

Terus mantapkan parti, jangan bertelagah sesama ahli

- Diterbit 15 September 2022 10:06 AM MYT

SARANAN supaya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menutup terus pintu rundingan dengan PAS akan diketahui selepas dibincangkan dalam mesyuarat MKT.

Ahli MKT, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata soal rundingan UMNO dengan PAS adalah pendirian parti dan berpandangan ada perkara yang mendatangkan kebaikan dan sebaliknya.

Katanya secara peribadi, ahli UMNO sama ada pemimpin atau akar umbi perlu memberi mandat dan kepercayaan kepada MKT untuk mengkaji dan meneliti sebelum membuat keputusan akhir dalam soal kerjasama dengan PAS.

” Ia sama ada membabitkan kerjasama dalam bentuk persefahaman, kerjasama dalam bentuk gabungan atau tiada sebarang kerjasama.

” Justeru parti dan MKT belum membuat keputusan dan kita tunggu selepas mesyuarat MKT, iaitu mesyuarat paling hampir ialah pada 28 September ini, dan yakin keputusan rasmi akan dibuat oleh parti,” katanya ditemui selepas Program Jelajah Bajet 2023 peringkat Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.

Jalaluddin berkata sehingga keputusan dibuat, ahli UMNO diharap terus kekal dengan agenda memantapkan parti sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.

Ditanya mengenai mesyuarat cawangan UMNO berikutan ada usul yang membabitkan kepimpinan parti, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu itu berkata ahli UMNO disetiap cawangan atau bahagian diminta memberi tumpuan bagi memantapkan UMNO bukan bertelagah mengenai isu yang boleh dijadikan peluru oleh pihak lawan.

Katanya mesyuarat sepatutnya membincangkan hal parti dan mengurangkan polemik selain mengetepikan perbezaan.

” Sekarang ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob adalah Naib Presiden UMNO manakala Presiden adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang perlu dipertahankan ahli disemua peringkat.

” Kalau kita mempertikaikan Presiden dalam persidangan bermaksud kita mempertikaikan parti, jika kita mempertikaikan Perdana Menteri, kita juga mempertikaikan parti,” katanya.

Justeru itu beliau mahu polemik mempertikaikan kepimpinan perlu dihentikan sebaliknya persidangan digunakan bagi membincangkan hal menguatkan parti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas