Fokus

Tertekan demi tampil mewah

- Diterbit 23 Ogos 2024 8:07 PM MYT

ISU akaun keldai dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) bukan sahaja merisaukan, malah ia mencerminkan betapa terdesaknya golongan ini sehingga sanggup terjerumus dalam sindiket penipuan. Pelajar sepatutnya menjadi benteng terakhir dalam menolak aktiviti haram ini, namun kita lihat ada yang terperangkap tanpa mereka sedari.

Sindiket penipuan semakin rancak menggunakan platform media sosial dan aplikasi pemesejan sebagai medium utama untuk mencari mangsa. Kita sedia maklum, pelajar IPT yang sememangnya aktif di platform ini tergolong dalam kumpulan pengguna terbesar media sosial dengan purata sebanyak 44.8 peratus bagi umur 18 hingga 44 tahun.

Sebagai orang yang masih muda, pelajar lazimnya menjadi sasaran mudah. Dengan janji manis seperti pekerjaan mudah dengan gaji lumayan, sindiket dengan mudah memperdayakan pelajar untuk menyerahkan butiran akaun bank mereka.

Menurut Pensyarah Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Ts Nurul Aishah Ab Raman, faktor kos sara hidup yang meningkat tidak boleh diketepikan dalam isu ini kerana pelajar kini berdepan dengan tekanan kewangan yang mencabar.

“Banyak yang terpaksa mencari sumber pendapatan tambahan untuk menampung kehidupan seharian dan inilah yang membuka ruang kepada sindiket untuk memanipulasi mereka. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan faktor ekonomi semata-mata. Pepatah ukur baju di badan sendiri harus dijadikan panduan dalam mencorakkan gaya kehidupan.

“Pelajar IPT kebanyakan sekarang juga mudah terpengaruh dengan desakan sekeliling, fear of missing out (FOMO) iaitu bersaing sesama sendiri untuk menjadi yang terbaik dalam penampilan sehingga mungkin terbeban dengan hutang. Ini juga perlu diberikan perhatian dan didikan kepada mereka supaya jangan mudah terjerumus dan cakna mengunakan kewangan kepada memenuhi keperluan melebihi kehendak.

“Faktor psikologi anak-anak muda juga perlu disemai supaya ada ketahanan dan kesedaran yang teguh. Konsep nothing comes easy in life perlu diterapkan juga, supaya mereka lebih berdaya saing dalam mengubah destini mereka, kehidupan yang tenang dan bahagia juga boleh dikecapi tanpa perlukan kemewahan melampau.

“Sentiasa didik hati untuk lebih ke bawah bukan bandingkan diri dengan orang yang lebih mampu daripada kita. Ini semua boleh menjadi kepada lemahkan ketahanan diri pelajar maka anasir luar mudah untuk mempengaruh mereka melakukan sesuatu yang memudaratkan tanpa mereka sedar until it’s too late,” ujar beliau.

Tambah Nurul Aishah, kehendak untuk mengekalkan gaya hidup yang trendy dan status sosial dalam kalangan rakan sebaya boleh menyebabkan pelajar terperangkap dalam perangkap sindiket penipuan.

“Ramai pelajar berasa tertekan untuk tampil mewah atau memiliki barang-barang berjenama yang mana mereka tidak mampu secara kewangan. Ini menyebabkan mereka mengambil jalan pintas seperti terlibat dalam aktiviti tidak sah untuk mendapatkan wang tambahan.

“Tekanan rakan sebaya ini sebenarnya lebih serius kerana usia para pelajar yang muda dan masih tidak matang, mereka dalam usia yang ingin diberikan perhatian, diterima dan disukai. Pengaruh media sosial yang kurang baik seperti influencer-influencer yang menekankan budaya OOTD, outfitcheck dan sebagainya ini sedikit sebanyak mempengaruhi minda golongan ini,” ujar beliau.

Walaupun pelajar adalah golongan berpendidikan, mereka masih terdedah kepada tipu daya sindiket kerana para penjenayah khususnya jenayah siber lebih sofistikated, lebih licik dalam merancang jenayah alaf baru.

“Ramai pelajar sebenarnya tidak menyedari bahawa akaun mereka digunakan sebagai akaun keldai yang menunjukkan kekurangan pemahaman mengenai risiko ini. Kita perlu memastikan pelajar untuk benar-benar faham akan akibatnya, bukan hanya dari segi undang-undang tetapi juga dari sudut moral dan etika.

“Mereka mungkin tidak sedar tentang kewujudan istilah dan konsep akaun keldai. Mereka mungkin melihatnya sebagai satu cara mudah untuk mendapatkan wang dengan meminjamkan akaun bank mereka, tanpa mengetahui implikasi undang-undang yang serius. Kurangnya pendedahan kepada maklumat ini di peringkat sekolah dan universiti menjadikan mereka lebih mudah terpedaya.

“Sindiket penipuan kini menggunakan teknik yang lebih canggih, seperti pishing, spoofing, dan pencurian identiti, yang sukar dikenali oleh individu biasa. Apatah lagi dengan teknologi AI yang semakin meresap ke dalam setiap rentas kehidupan seharian dengan kebergantungan tinggi kita kepada peranti-peranti digital setiap hari,” ujarnya lagi.

Katanya, wang menjadi daya penarik yang kuat terutama kepada pelajar yang terdesak. Banyak sindiket keldai akaun yang beroperasi secara antarabangsa, menjadikan mereka sukar dijejaki dan dibanteras.

“Pancingan wang mudah dengan nilai mata wang antarabangsa membuatkan pelajar tertarik dan boleh menjadi mangsa. Pelajar mungkin tidak menyedari bahawa mereka berurusan dengan rangkaian jenayah antarabangsa yang kompleks, yang boleh menjerat mereka dalam masalah perundangan yang lebih besar dan melibatkan pelbagai negara.

“Dengan memahami sebab-sebab dan fakta-fakta ini, pihak berkuasa, institusi pendidikan dan pelajar sendiri diharapkan dapat mengambil langkah yang lebih proaktif untuk mencegah dan menangani isu keldai akaun dalam kalangan pelajar IPT.

“Pendidikan, kesedaran, dan sokongan adalah kunci untuk membanteras masalah ini dari akar umbi. Ingat, nothing comes easy in life. If it’s too good to be true, know that it is not always true. Takkan wang dan kehidupan yang diidamkan itu akan datang bergolek-golek semudah A, B, C,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar kempen kesedaran dipergiat, termasuk melalui ceramah dan bengkel di IPT. Pihak universiti juga perlu lebih proaktif selain memantau pelajar khususnya yang terlibat dalam aktiviti mencurigakan.

“Pelajar yang terlibat mungkin tidak menyedari bahawa tindakan mereka boleh membawa kepada kesan jangka panjang terhadap sejarah kredit dan reputasi mereka. Akaun bank mereka boleh disenarai hitam oleh bank, menyukarkan mereka untuk membuka akaun baru atau memohon pinjaman di masa depan. Ini boleh memberi kesan buruk kepada prospek kewangan mereka selepas tamat pengajian.

“Bagi mereka yang dikenakan tindakan undang-undang, masa depan mereka boleh terjejas termasuk risiko tidak dapat menghabiskan pengajian. Ini adalah harga yang terlalu mahal untuk dibayar hanya kerana terlibat dalam aktiviti haram,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas