PEMBINAAN Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanya perlu dipertimbangkan apabila Terminal 2 mencapai kapasiti maksimum pengendalian penumpang.
Perkara itu dinyatakan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil kira pandangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
“Pembinaan Terminal 3 KLIA merupakan salah satu strategi jangka panjang pembangunan KLIA berdasarkan Pelan Induk KLIA 2020,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MOT menjawab soalan mengenai status perancangan pembinaan Terminal 3 KLIA seperti diumumkan baru-baru ini.
Kementerian itu menambah, pelaksanaan strategi ini adalah termasuk pelan meningkatkan kapasiti Terminal 1 KLIA daripada 30 juta penumpang setahun (million passenger per annum – mppa) kepada 59 mppa.
Katanya, ini termasuk memperluaskan kapasiti Terminal 2 KLIA daripada 45 mppa kepada 67 mppa dan mempertimbangkan pembangunan landasan keempat dan Terminal 3
baharu di KLIA.
“Buat masa ini, MAHB sedang meneliti keperluan pembangunan fasa pertama bagi projek pembesaran di kawasan Terminal 1 KLIA.
“Cadangan pembesaran ini meliputi keperluan menampung peningkatan trafik bagi sektor penumpang, kargo dan juga pesawat selaras dengan pelan perniagaan syarikat-syarikat penerbangan negara,” katanya.
Jelas MOT, pada masa yang sama, Terminal 2 KLIA masih beroperasi di bawah kapasiti maksimum 45 mppa untuk menampung bilangan penumpang di lapangan terbang tersebut. – WILAYAHKU