Berita

Terma Perdagangan Malaysia berkembang 0.4 peratus pada November 2024

- Diterbit 27 Disember 2024 4:44 PM MYT

HARGA eksport Malaysia pada November 2024 meningkat 0.9 peratus daripada 147.8 mata pada bulan sebelumnya kepada 149.1 mata.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia berkata harga import naik 0.5 peratus daripada 126.3 mata kepada 126.9 mata dan terma perdagangan Malaysia bertambah 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 117.5 mata pada November 2024.

Jabatan Perangkaan berkata ini sebagaimana dipaparkan oleh laporan
Indeks Perdagangan Luar Negeri pada hari ini.

“Penerbitan ini memaparkan statistik indeks nilai seunit, indeks volum dan terma perdagangan meliputi 10 seksyen komoditi produk barangan selaras dengan Klasifikasi Standard Perdagangan Antarabangsa (SITC),” katanya.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, indeks nilai seunit eksport naik 0.9 peratus pada November 2024 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak, lemak binatang, sayur-sayuran, minyak galian dan barang-barang keluaran kilang.

Beliau berkata namun indeks volum eksport jatuh 2.1 peratus selaras dengan kejatuhan indeks makanan, barang-barang keluaran kilang dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan.

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim berkembang 1.5 peratus daripada 156.9 mata kepada 159.3 mata.

“Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit berkurang 0.1 peratus manakala indeks volum bertambah 4.2 peratus,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun menokok 2.6 peratus daripada 114.5 mata pada November tahun lalu.

Katanya, Jabatan Perangkaan Malaysia telah melancarkan Open DOSM Next Gen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.

“Ini boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my. Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Hari Statistik Negara (MyStats Day) pada 20 Oktober lalu dengan tema sambutan MyStats Day adalah ‘Statistik Nadi Kehidupan’.

“DOSM menyambut ulang tahun ke 75 Jubli Intan pada tahun 2024,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas